- Iklan -
Berita

Operasi di lokasi nahas pesawat disambung

Pencarian kemungkinan cebisan mayat akan tertumpu kepada proses 'sweeping' di tempat kejadian.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Anggota Bomba dan Penyelamat dilihat berada berdekatan bangkai pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.
Anggota Bomba dan Penyelamat dilihat berada berdekatan bangkai pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 di Elmina, Shah Alam, 17 Ogos.

Operasi mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa nahas pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina di Shah Alam semalam disambung pada 9 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi berkata operasi hari ini menumpukan kepada proses 'sweeping' di lokasi kejadian.

Beliau berkata satu sidang media bagi memperincikan operasi hari ini dijangka diadakan pada 9.30 pagi ini sama ada oleh Ketua Polis Negara Razarudin Husain atau Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan.

Semalam 10 lelaki disahkan maut dalam kejadian itu.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.