- Iklan -
Berita

Fokus bina negara, kata bos RTM selepas diserang penyokong PH

Ini berlaku selepas Suhaimi Sulaiman dikecam di media sosial, dengan ramai yang meletakkan tanggungjawab untuk penyebaran propaganda kerajaan ke atasnya selepas enam pilihan raya negeri.

MalaysiaNow
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia Suhaimi Sulaiman bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow di pejabatnya di Kuala Lumpur, 9 Mei.
Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia Suhaimi Sulaiman bercakap dalam wawancara bersama MalaysiaNow di pejabatnya di Kuala Lumpur, 9 Mei.

Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman menegaskan pembinaan negara bangsa menjadi tanggungjawab dan keutamaan Radio Televisyen Malaysia (RTM) selepas diasak hebat penyokong Pakatan Harapan (PH) yang meminta supaya lebih banyak propaganda ditayangkan.

Rata-rata mereka menyalahkan personaliti penyiaran itu kerana gagal mempamerkan jenama Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga mengakibatkan sokongan terhadap kerajaan campuran melemah pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Suhaimi menyifatkan kritikan bertali arus pihak tersebut terhadapnya dan warga RTM sebagai sebahagian daripada lumrah dan kelaziman yang perlu dihadapi dalam dunia kewartawanan.

Tambahnya, mereka yang mengkritik juga berhak untuk menyuarakan pandangan masing-masing tentang pergerakan RTM.

"Bagi kami di RTM, kami makan dan bernafas kandungan membina negara hari demi hari.

"Itu tanggungjawab kami. 

"Sila tonton RTM di pelbagai platform, barulah mereka akan faham," katanya kepada MalaysiaNow.

Nama Suhaimi paling banyak disebut dalam media sosial sejak Ahad lalu menyasarkan beliau sebagai pihak yang sepatutnya memikul tanggungjawab berhubung keputusan undian yang menyaksikan sokongan merosot terhadap kerajaan campuran.

(https://www.malaysianow.com/my/news/2023/08/15/bos-rtm-diserang-penyokong-ph-disalahkan-kerana-keputusan-prn-6-negeri)

Keputusan PRN pada Sabtu lalu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) berjaya mengekalkan penguasaannya di Kedah, Terengganu dan Kelantan dengan majoriti lebih besar.

Sementara di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, walaupun masih dikuasai gabungan PH dan Barisan Nasional (BN), PN berjaya memenangi sejumlah kerusi yang besar.

Di Selangor, PN berjaya mendapat 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus menafikan majoriti dua pertiga gabungan PH-BN.

Di Negeri Sembilan, PN berjaya merampas lima kerusi DUN dan di Pulau Pinang mereka berjaya mendapat 11 kerusi DUN.

Suhaimi, 60, dilantik untuk mengetuai jabatan penyiaran itu berkuat kuasa pada 19 Januari lalu.