- Iklan -
Berita

Orang muda disogok dengan KFC untuk tolak Umno, kata Nur Jazlan

Kenyataan terbaru ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu menyuarakan kekecewaan yang semakin meningkat atas kegagalan parti itu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Penyokong Perikatan Nasional ketika pengumuman calon bagi pilihan raya negeri di Taman Medan, Petaling Jaya, 26 Julai.
Penyokong Perikatan Nasional ketika pengumuman calon bagi pilihan raya negeri di Taman Medan, Petaling Jaya, 26 Julai.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed melancarkan serangan terhadap pihak yang cuba menyalahkan Ahmad Zahid Hamidi berhubung kekalahan memalukan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung minggu lepas, sambil berkata pengundi muda menolak calonnya kerana mereka tidak mempunyai ilmu politik dan disogok dengan “makanan segera”.

Beliau mendakwa semakannya sendiri di Selangor mendedahkan pengundi muda tidak tahu tentang pengundian atau mengenai calon dan logo parti.

“Mereka tanya kawan nak undi siapa dan undi mereka didorong oleh insentif kewangan atau makan KFC selepas mengundi. 

“Saya tak tahulah siapa yang memberi tapi sudah tentu bukan Umno pasal kita kalah," kata bekas menteri itu dalam kiriman di Facebook bagi mempertahankan Zahid susulan gesaan supaya beliau berundur sebagai presiden parti.

Nur Jazlan Mohamed.
Nur Jazlan Mohamed.

Komen Nur Jazlan itu menggambarkan kekecewaan dalam barisan kepimpinan Umno susulan siri penolakan pengundi Melayu meskipun parti itu sebahagian daripada kerajaan persekutuan. 

Umno dan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) sering menyalahkan kemerosotan sokongan Melayu dalam kalangan pengundi muda adalah disebabkan kerana terpengaruh dengan sentimen perkauman serta kandungan TikTok di media sosial.

Kekecewaan yang sama turut disuarakan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail pada Februari tahun ini, apabila beliau berkata golongan muda yang mengundi Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum tahun lalu tidak berpelajaran dan tidak berpendapatan tinggi.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung minggu lalu, Umno ditendang keluar di Kedah dan Terengganu, manakala hanya memenangi dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor dan satu kerusi di Kelantan. 

Parti itu hanya bersinar di Negeri Sembilan, memenangi 14 kerusi. 

Secara keseluruhan, Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya, walaupun diberi laluan oleh PH untuk bertanding di kerusi campuran dan separa bandar.

Umno juga hanya memenangi dua kerusi di Selangor, walaupun menjangkakan parti itu boleh menambah kerusi Melayu kepada kerajaan negeri pimpinan PH.

Ini merupakan pilihan raya kedua parti itu ditendang pengundi sejak pilihan raya umum tahun lalu yang menyaksikan lonjakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN), gabungan yang mempertahankan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu sambil menawan beberapa kerusi majoriti Melayu di Pulau Pinang dan Selangor. 

Sementara itu, Nur Jazlan menyalahkan pemimpin sayap Umno, berkata mereka gagal mendapatkan semula sokongan daripada pengundi muda sejak pilihan raya 2018.

“Apa yang ketua-ketua sayap buat selama ini untuk tarik orang muda sokong Umno?

“Kalau setakat cakap-cakap saja, orang lain pun boleh buat kerja tu,” tambahnya.