- Iklan -
Berita

Kedudukan Amirudin masih belum terjamin, PH Selangor sedang pertimbang ‘nama lain’

Dengan DAP mendominasi blok kerajaan, PKR tiada kuasa untuk memilih siapa yang akan menerajui negeri itu.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Menuurt sumber Amirudin Shari (tengah) masih yakin beliau akan menjadi satu-satunya nama yang diserahkan kepada istana, walaupun perbincangan masih diteruskan mengenai nama-nama lain untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri besar Selangor.
Menuurt sumber Amirudin Shari (tengah) masih yakin beliau akan menjadi satu-satunya nama yang diserahkan kepada istana, walaupun perbincangan masih diteruskan mengenai nama-nama lain untuk dipertimbangkan bagi jawatan menteri besar Selangor.

Kedudukan Amirudin Shari sebagai menteri besar masih belum terjamin dengan beberapa siri rundingan membabitkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) masih berjalan mengenai jawatan tertinggi itu walaupun Anwar Ibrahim sebelum ini mengunumkan untuk melantik semula Adun Sungai Tua itu bagi penggal kedua, MalaysiaNow difahamkan.

Sekurang-kurangnya dua sumber rapat dengan pemimpin PKR Selangor yang terlibat dengan perbincangan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini berkata jaminan pengerusi PH kepada Amirudin masih bukan satu keputusan muktamad.

"Ia lebih rumit daripada itu. Suasana selepas pilihan raya tidak sama dengan tempoh kempen," kata seorang pemimpin PKR yang rapat dengan pemimpin kanan parti kepada MalaysiaNow. 

Difahamkan, majlis angkat sumpah jawatan menteri besar mungkin tidak berlangsung sehingga Jumaat, membolehkan pemimpin PH mendapat lebih masa untuk mencapai kata sepakat mengenai nama yang akan diserahkan kepada istana Selangor. 

Ini kerana Sultan Sharafuddin Idris Shah yang sedang pulih daripada pembedahan prostat di London hanya akan pulang hari ini.

Pada masa lalu, pihak istana meminta lebih daripada satu nama untuk dipertimbangkan sultan.

Namun satu lagi sumber yang rapat dengan kumpulan dalam PKR yang bersekutu dengan Amirudin berkata beliau masih berpegang pada janji Anwar, sambil menambah beliau juga yakin akan menjadi calon tunggal.

Sumber PKR bagaimanapun menolak perkara ini, mengatakan terdapat beberapa nama yang dikemukakan dalam aktiviti "melobi" untuk jawatan menteri besar.

Sumber itu juga menambah dengan PKR menang kurang daripada DAP, ia tidak mempunyai pilihan selain melibatkan rakan gabungan itu dalam perbincangan mengenai jawatan tersebut. 

DAP memenangi kesemua 15 kerusi yang ditandinginya di Selangor, manakala PKR memenangi 12, Amanah (lima). 

"Dengan DAP sebagai parti dominan bermakna Amirudin mungkin perlu melakukan lebih banyak lagi untuk meyakinkan rakan kongsi mengapa beliau perlu kembali ke jawatan itu," kata sumber berkenaan.

Menurut sumber, mereka yang tidak berminat melihat Amirudin meneruskan peranannya sebagai menteri besar menyatakan kegagalannya untuk membendung arus sokongan kepada PN, yang menyaksikan jumlah kerusi dimenangi PH berkurangan kepada 32 daripada 51 pada 2018. 

Pengkritik Amirudin dalam blok kerjaan juga cuba untuk menggambarkan Amirudin sebagai tidak cekap, sambil menyatakan gagal menangani beberapa isu tempatan, termasuk bantahan penduduk terhadap pembangunan cerun di beberapa kawasan termasuk Bukit Antarabangsa, serta "publisiti negatif yang tidak perlu" kepada kerajaan negeri berhubung kelulusan yang diberikan kepada ahli perniagaan untuk menukar taman awam kepada zoo mini di Taman Selayang Indah, yang sebahagian daripada kawasan DUN Sungai Tua. 

Sementara itu, sumber lain memberitahu MalaysiaNow bahawa antara "nama lain" yang dipertimbangkan ialah Fahmi Ngah, penasihat ekonomi negeri yang memenangi kerusi Seri Setia dalam PRN baru-baru ini. 

Ketika penantian mengenai calon menteri besar berterusan, bekas ahli parlimen DAP Wee Choo Keong berkata parti itu boleh menamakan calonnya sendiri kerana prestasi cemerlangnya dalam PRN baru-baru ini.

Wee, yang pernah berkhidmat sebagai ahli parlimen bagi DAP dan PKR, berkata tidak ada salahnya untuk DAP mengemukakan nama wakil rakyat Melayu tunggal parti itu, Jamaliah Jamaluddin. 

"Biarlah dia menjadi MB wanita pertama bukan sahaja untuk Selangor tetapi juga Malaysia. 

“Dia memperoleh kemenangan sebenar dan bukan melalui Langkah Kajang!" tulis Wee di Twitter, merujuk kepada rancangan PKR yang gagal pada 2014 untuk menggantikan menteri besar ketika itu Abdul Khalid Ibrahim dengan isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Langkah Kajang menyaksikan penyandang PKR di Kajang mengosongkan kerusinya untuk memberi laluan kepada Wan Azizah bertanding, dengan tujuan untuk melantiknya sebagai menteri besar. 

Rancangan itu gagal selepas Sultan Selangor menolak pencalonannya.