- Iklan -
Berita

Jho Low tidak pernah masak pasta untuk keluarga saya, kata Zeti

‘Tidak masuk akal dan mengarut, tidak pernah berlaku’ kata bekas gabenor Bank Negara itu ketika memberi keterangan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 15 Ogos.

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low tidak pernah melawatnya dan memasak pasta untuk keluarganya di kediamannya di Bukit Tunku, di Kuala Lumpur.

Saksi berusia 76 tahun itu berkata demikian ketika menafikan dakwaan peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib Razak pada perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Shafee: Semasa menjadi Gabenor BNM, di manakah kediaman kamu?

Zeti: Di Bukit Tunku, Jalan Tunku Puteri.

Shafee: Itu tidak jauh dari rumah Najib.

Zeti: Ya.

Mengenai cadangan Shafee bahawa Jho Low mempunyai tabiat datang ke rumahnya pada hujung minggu untuk memasak pasta kepada keluarganya, Zeti menjawab: "tidak masuk akal dan mengarut, tidak pernah berlaku". 

Saksi pendakwaan ke-46 itu turut menafikan Jho Low rapat dengan keluarganya melalui suaminya Tawfiq Ayman kerana kedua-duanya adalah rakan kongsi perniagaan.

Beliau berkata bahawa beliau tidak pernah menerima hadiah mahal daripada Jho Low sepanjang hidupnya.

Shafee: Ada sekali tu ketika kamu bertemu PM (Najib), kamu berkata Jho Low suka memberikan kamu hadiah mahal dan berkata "saya menerimanya tetapi saya pulangkan balik".

Zeti: Saya tidak pernah menerima sebarang hadiah daripada sesiapa, termasuk Jho Low.

Shafee: Adakah kamu mengatakannya kepada PM (Najib)?

Zeti: Saya tidak ingat. 

Sementara itu, Zeti juga menafikan dakwaan yang dibuat oleh bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner semasa perbicaraan kes Roger Ng yang membabitkan 1MDB di mahkamah New York, bahawa suami Zeti telah menerima rasuah, sehingga US$1 bilion yang dimaksudkan untuk usaha sama 1MDB-Petrosaudi dapat dibawa ke luar negara tanpa kelulusan BNM.

Shafee ketika membaca transkrip perbicaraan Ng di mahkamah New York berkata Leissner memberi keterangan bahawa BNM perlu memberi kelulusan US$1 bilion dibawa ke luar Malaysia kerana pada 2009, Malaysia masih mempunyai kawalan modal.

“AS$1 bilion telah dipindahkan semalaman keluar dari Malaysia (ke akaun syarikat JV di luar negara) dan ia telah dilakukan kerana suami kepada gabenor Zeti ketika itu di BNM telah menerima rasuah untuk melaksanakannya.

“Semalaman, wang itu telah dipindahkan, yang tidak pernah berlaku sebelum ini pada masa itu. Tiada kelulusan diperoleh secepat itu dengan BNM,” dakwa Leissner.

Shafee: Tan Sri, kamu pasti pernah dengar tentang perkara ini.

Zeti: Beliau (Tawfiq) berkata beliau tidak pernah menerima sebarang rasuah sepanjang hidupnya. Beliau membuat rujukan bahawa beliau tidak pernah bertemu dengan dua orang ini (Ng dan Leissner). 

Shafee: Adakah BNM atau kamu membuat sebarang kenyataan untuk menyangkal perkara ini?

Zeti: Kami tidak berbuat demikian kerana kami diberitahu ia akan menjejaskan kes (perbicaraan Ng).

Bagaimanapun, Zeti berkata suaminya membuat kenyataan berhubung dakwaan itu kerana ia bersifat peribadi kepadanya.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.