- Iklan -
Berita

Pejabat tanah Selangor sahkan pajak tanah kepada ahli perniagaan

Ia mengatakan permohonan oleh Ho Ah Chai adalah bagi tujuan pertanian.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Taman Selayang Indah memegang poster mempersoalkan pajakan yang diberikan untuk sebidang tanah di kawasan kejiranan mereka.
Penduduk Taman Selayang Indah memegang poster mempersoalkan pajakan yang diberikan untuk sebidang tanah di kawasan kejiranan mereka.

Pihak berkuasa Selangor hari ini mengesahkan memajak tanah di Taman Selayang Indah kepada ahli perniagaan Ho Ah Chai, berikutan aduan daripada penduduk yang mengatakan penggunaan plot tanah berkenaan untuk tujauan pertanian dan penternakan haiwan telah menyebabkan pencemaran bau dan bunyi di kawasan kejiranan. 

Pejabat Tanah dan Galian Selangor berkata pihaknya menerima dua permohonan pajakan pada 2019 daripada sebuah syarikat dan seorang individu untuk Lot 50863 di Bandar Selayang, Gombak.

“Pihak Berkuasa Negeri pada 15 September 2020 telah mempertimbangkan kelulusan kepada pemohon Ho Ah Chai bagi tujuan pertanian,” kata Jabatan itu.

“Sehubungan itu, satu Perjanjian Pajakan Tanah di antara Kerajaan negeri Selangor selaku pemberi pajak dan Ho selaku penerima pajak telah dimeterai pada 13 November 2020.

“Kelulusan pajakan ini selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 63 Kanun Tanah Negara 1965.”

Penduduk sebelum ini memberitahu MalaysiaNow bahawa plot tanah berkenaan pada asalnya digunakan sebagai taman permainan. 

Mereka berkata kawasan tersebut telah dipagar dan dijadikan "zoo mini" semasa pandemik Covid-19, berikutan mereka membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah dan Galian Selangor. 

Mereka juga berkata mereka telah menerima surat daripada pejabat tanah yang mengesahkan bahawa tanah itu telah dipajak. 

Dalam kenyataannya hari ini, pejabat tanah itu berkata pihaknya telah menerima surat aduan daripada wakil penduduk yang menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap gangguan itu.

“Susulan daripada aduan tersebut,Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah menjalankan siasatan di atas tapak pada 26 Julai 2023 dan telah mengeluarkan surat peringatan iaitu Notis Kemungkinan kepada penerima pajak bagi memulihkan keingkaran tersebut selaras dengan tujuan Perjanjian Pajakan Tanah yang dimeterai.”