- Iklan -
Berita

Penduduk bantah 'zoo mini' milik 'tauke' dikaitkan dengan MB Selangor

Menurut penduduk Taman Selayang Indah, mereka dibelenggu dengan pencemaran bunyi dan bau sejak taman permainan di kawasan itu dipagar dan digunakan untuk memelihara haiwan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk Taman Selayang Indah menunjukkan beberapa haiwan yang dipelihara di dalam kandang berhampiran kawasan perumahan itu.
Seorang penduduk Taman Selayang Indah menunjukkan beberapa haiwan yang dipelihara di dalam kandang berhampiran kawasan perumahan itu.

Meena Chi Chelliah sudah menetap di Taman Selayang Indah selama lebih 40 tahun. 

Dia merupakan antara pembeli rumah yang terawal di taman itu.

Namun kini kehidupan warga emas itu terganggu dengan kehadiran satu “zoo mini” di kawasan yang dahulunya taman permainan. 

"Semasa pandemik Covid-19 kami tidak menggunakan taman itu. 

“Ia tiba-tiba diubah suai oleh seseorang individu walhal taman itu merupakan taman awam," katanya kepada MalaysiaNow.

Sebagai penduduk asal, Meena Chi turut mempunyai pelan perumahan itu yang jelas menunjukkan status taman itu sebagai hak milik awam. 

Penduduk menunjukkan guni kompos yang dikatakan telah menyebabkan pencemaran bau di kawasan kejiranan mereka.
Penduduk menunjukkan guni kompos yang dikatakan telah menyebabkan pencemaran bau di kawasan kejiranan mereka.

Menurut Meena Chi, individu itu mengambil kesempatan mengubah suai taman permainan itu ketika pandemik melanda negara. 

Tinjauan MalaysiaNow mendapati, kawasan tersebut yang terletak di tengah-tengah Taman Selayang Indah tidak lagi sama dengan keadaan sebelum ubah suai. 

Ia kini berpagar dan penuh dengan pelbagai tumbuhan dan haiwan.

Satu kantin turut didirikan di kawasan itu yang mengakibatkan longkang di Taman Selayang Indah tersumbat dengan sisa makanan.

‘Idea gila’

Pembangunan yang disifatkan penduduk sebagai "idea gila" itu dikatakan milik Ho Ah Chai, pengasas Sri Ternak Group yang mengendalikan ST Rosyam Mart, rangkaian pasar raya bersama pelakon Rosyam Nor.

Ho juga dikatakan mempunyai hubungan dengan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang dirakamkan melawat rumah anaknya Raymond di Taman Melati, Selangor, semasa Tahun Baharu Cina pada 2019. 

Amirudin juga dilihat bersama Ah Chai dalam upacara menggaul Yee Sang.

Penduduk Taman Selayang Indah memegang papan tanda mempersoalkan pajakan tanah yang mereka katakan adalah hak milik awam.
Penduduk Taman Selayang Indah memegang papan tanda mempersoalkan pajakan tanah yang mereka katakan adalah hak milik awam.

Menurut Meena Chi, penduduk sudah membuat aduan kepada Ah Chai namun ia tidak didengari.

Seorang penduduk, Liew Li Lih berkata, aduan turut dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor namun maklum balas kedua-dua pihak ternyata mengecewakan.

"Surat PTG Selangor menyatakan taman itu dipajak kepada individu tersebut.

“Patutkah mereka pertimbangkan pajakan itu sedangkan ia adalah taman permainan dalam kawasan perumahan?" katanya. 

Dia turut mempersoalkan mengapa PTG tidak menamatkan pajakan itu walaupun boleh berbuat demikian memandangkan aktiviti ternakan haiwan melanggar peraturan dan tidak selaras dengan tujuan pajakan.

Dalam satu maklum balas kepada penduduk, MPS menerusi satu surat bertarikh 6 Julai lepas menyatakan tiada pencemaran berlaku di kawasan ternakan berkenaan.

Menurut seorang penduduk, MPS ada merampas sebahagian haiwan dalam zoo mini itu setelah menerima aduan penduduk, namun ia tidak menyelesaikan masalah apabila pencemaran bau dan bunyi terus berlaku.

Haiwan itu turut mendatangkan bahaya selepas perumahan itu berkali-kali dimasuki ular yang ingin memakan haiwan dalam kawasan ternakan.

Seorang lagi penduduk, Liew Hon Choy mahu kerajaan negeri bertanggungjawab terhadap masalah yang dihadapi mereka, terutama apabila individu itu mempunyai hubungan dengan menteri besar Selangor.

"Saya tidak mahu menyalahkan mana-mana individu. Macam mana kerajaan negeri dan menteri besar boleh bagi (pajak taman) pada orang?

"Dulu cakap reformasi, reformasi apa ini?"

Semasa tinjauan MalaysiaNow, Ah Chai turut berada di kawasan berkenaan. 

Pertengkaran mulut terjadi antara dia dan Liew sehingga hampir menyebabkan pergaduhan berlaku. 

Katanya, dia sudah mengusahakan taman itu sejak 10 tahun sebagai hobi dan minat. 

"Orang kerajaan yang bantu saya dapatkan pajakkan. 

“Mereka yang tolong saya," katanya.

Ah Chai menafikan hubungan dengan Amirudin ketika ditanya mengenai perkara itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.