- Iklan -
Berita

Zahid ikrar selenggara jalan raya, rumah kos rendah jika BN-PH menang di Kelantan

Beliau berkata isu ini boleh diselesaikan jika pengundi Kelantan memilih gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan pada pilihan raya 12 Ogos ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Tanah Merah, 7 Ogos. Gambar: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berucap di Tanah Merah, 7 Ogos. Gambar: Bernama

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan, masalah jalan luar bandar dan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kelantan jika dimenangi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), akan diberi perhatian khusus.

Beliau berkata sebagai menteri kemajuan desa dan luar wilayah janji tersebut mampu dilaksanakan, sekiranya rakyat Kelantan memilih BN-PH, 12 Ogos nanti.

“Adhan kalau mene (menang) jumpa ambo (saya). Abe jaga luar bandar jalan berlube (berlubang) minta, rumah PPRT nak baiki bagi tahu, rumah daif bagi tahu.

“Ini bukan janji pilihan raya, ini betul-betul janji,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO di Majlis Ramah Mesra di Kampung Lawang, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi BN Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan penyandang kerusi DUN Bukit Bunga Adhan Kecik. 

Bukit Bunga merupakan satu daripada lapan kerusi DUN yang dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Namun kerusi BN hanya tinggal tujuh, selepas Adun Air Lanas Mustapa Mohamed bertindak keluar Umno dan menyertai Bersatu.

Mengulas lanjut, Zahid berkata PRN kali ini merupakan waktu terbaik buat rakyat Kelantan untuk menukar kerajaan negeri, yang sudah 33 tahun mentadbir.

“Ini kali yang terbaik untuk kita ambil alih kerajaan negeri Kelantan dari PAS, insya-Allah kali ini kita akan berikan perkhidmatan yang terbaik, untuk seluruh negeri Kelantan.

“Insya-Allah masalah air, kalau ada tunggakan air kerajaan akan hapuskan hutang itu, tebatan banjir akan dibina supaya Kelantan kurang mengalami banjir lagi,” katanya.

Beliau berkata manifesto BN-PH yang dilancarkan baru-baru ini, menyediakan pelbagai insentif kepada Kelantan sekiranya gabungan itu dipilih sebagai kerajaan negeri, 12 Ogos nanti.