- Iklan -
Berita

Pengundi Terengganu buat laporan polis, dakwa calon BN beri sogokan

Mohd Hilmi Jusoh berkata tuduhan serupa semasa pilihan raya umum tahun lepas menyebabkan mahkamah membatalkan kemenangan PAS di Kuala Terengganu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Mohd Hilmi Jusoh (dua dari kiri) memegang salinan laporan polisnya yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, 8 Ogos.
Mohd Hilmi Jusoh (dua dari kiri) memegang salinan laporan polisnya yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kuala Terengganu, 8 Ogos.

Seorang pengundi, Mohd Hilmi Jusoh membuat laporan polis hari ini terhadap calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Mohd Sabri Alwi kerana dikatakan cuba melakukan sogokan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

Hilmi yang merupakan pengundi DUN Ladang mendakwa, unsur sogokan itu adalah melalui satu program pemberian minyak hitam kepada penunggang motosikal di perkarangan Pangsapuri Ladang Gemilang pada Jumaat lepas.

Katanya, laporan polis itu dibuat selepas merasakan berlaku ketidakadilan dalam proses kempen.

Selain itu katanya, calon BN itu dipercayai melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya percaya program tersebut ada mempunyai unsur sogokan dan ia jelas melanggar peraturan SPR di bawah Seksyen 8,9,10, dalam program itu jelas ada pemberian daripada calon itu tersebut," katanya kepada pemberita.

Beliau hadir di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu awal hari ini ditemani beberapa kepimpinan Pemuda PAS negeri bagi membuat laporan kes tersebut.

MalaysiaNow cuba mendapatkan penjelasan daripada Sabri, namun pegawainya, memaklumkan calon BN itu akan membuat kenyataan berhubung isu terkait dengannya esok.

Mengulas lanjut, Hilmi meluahkan kekecewaan dengan insiden tersebut sedangkan isu rasuah dan sogokan kepada pengundi antara yang diperjuangkan BN menerusi petisyen yang difailkan terhadap Perikatan Nasional dan sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu terpaksa diadakan semula.

"Kita tengok pihak lain dapat patuh dengan peraturan tersebut mengapa BN tidak boleh sedangkan BN lah yang dulu kemukakan petisyen sehingga PRK Kuala Terengganu diadakan," katanya.

Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah pada Jun yang membatalkan kemenangan PAS di kerusi Parlimen Kuala Terengganu menerusi calonnya, Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ia susulan petisyen yang difailkan BN Terengganu mendakwa wujudnya unsur rasuah dalam kempen Ahmad menerusi program bantuan kerajaan negeri.

Pada masa sama, Hilmi juga menolak tindakannya membuat laporan polis kerana dirinya cenderung menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Saya bukan penyokong mana-mana parti, tapi saya membuat laporan berdasarkan hak saya sebagai pengundi.

“Sebagai pengundi saya rasa perkara ini sangat tidak adil," katanya.

Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR 1954) di bawah Seksyen 8 (perjamuan),9 (pengaruh tidak wajar) dan 10 (rasuah) membabitkan semua bentuk kesalahan rasuah dan salah guna kuasa yang jelas semasa atau selepas tempoh pilihan raya.

Menawarkan “pembelian undi” sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberi atau menawarkan wang, hadiah, pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya adalah di bawah peruntukan Seksyen 10.

Hukuman kesalahan tersebut boleh dipenjara hinggalah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan hak mengundi.