- Iklan -
Berita

Ketua pendakwa kes Zahid 'mohon bersara awal', kata peguam negara

Peguam negara mengesahkan spekulasi tentang Raja Rozela Raja Toran tidak lagi bersama pasukan pendakwaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Peguam Negara Idrus Harun (kiri) dan Raja Rozela Raja Toran.
Peguam Negara Idrus Harun (kiri) dan Raja Rozela Raja Toran.

Peguam Negara Idrus Harun hari ini akhirnya bersuara berhubung isu ketua pendakwa dalam kes Ahmad Zahid Hamidi digugurkan, mengatakan Raja Rozela Raja Toran yang memohon untuk “bersara awal”.

Dalam satu kenyataan, Idrus berkata permohonan Raja Rozela diluluskan dan persaraannya akan berkuat kuasa pada 1 November.

“Selanjutnya, Raja Rozela telah memohon untuk bercuti sebelum bersara mulai 30 Ogos 2023,” kata Idrus.

Tambahnya, memandangkan perbicaraan akan diteruskan sehingga Disember, maka diputuskan Mohd Dusuki Mokhtar akan mengambil alih tugas daripada Raja Rozela. 

“Keputusan ini dibuat dengan teliti bagi memastikan kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid Hamidi tidak terjejas, selain memastikan Jabatan Peguam Negara dapat menegakkan keadilan selaras dengan bidang kuasa peguam negara seperti yang diperuntukkan dalam Fasal (3) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan," kata Idrus. 

Raja Rozela mengetuai pasukan pendakwaan sejak bermulanya kes berprofil tinggi melibatkan timbalan perdana menteri itu.

Ketiadaannya buat pertama kali dilaporkan oleh NST pada 5 Ogos, diikuti oleh spekulasi bahawa beliau digugurkan.

Awal hari ini, akhbar itu melaporkan Raja Rozela enggan mengulas mengenai statusnya sebagai ketua pendakwa raya: "Saya seorang penjawat awam... saya tidak dibenarkan mengulas. Saya mohon maaf.”.

Sekurang-kurangnya dua peguam secara terbuka menuntut penjelasan atas ketidakhadirannya, berkata perkembangan itu mempunyai kaitan dengan keyakinan orang ramai terhadap cara perbicaraan dijalankan.

"Pendakwaan terhadap timbalan perdana menteri yang sedang berlangsung ini adalah perkara yang mempunyai kepentingan awam yang tinggi. Ia mesti dilihat dilaksanakan secara bebas dan telus, tanpa sebarang campur tangan," kata peguam Bersatu Sasha Lyna Abdul Latif.

Seorang lagi peguam, Rafique Rashid mempersoalkan mengapa Raja Rozela digantikan ketika perbicaraan itu berada di peringkat yang kritikal.

“Perbicaraan di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi. 

“Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan.

“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?” 

Tiada sebarang reaksi daripada Majlis Peguam setakat ini.

Zahid berdepan 47 pertuduhan – 12 pecah amanah (CBT), lapan rasuah, dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. 

Antara pertuduhan CBT ialah beliau didakwa menjelaskan hutang kad kreditnya menggunakan Yayasan Akalbudi melalui 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.

Presiden Umno itu memainkan peranan penting dalam membawa partinya menyokong usaha Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum tahun lepas susulan Parlimen tergantung.