- Iklan -
Berita

Bersih beri amaran terhadap sekatan media, kebebasan bersuara dilakukan kerajaan Anwar

Kumpulan itu menentang sebarang penggunaan media kerajaan sebagai alat propaganda menjelang Pilihan Raya Negeri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Terdapat beberapa siri tindakan keras terhadap media yang mengkritik kerajaan, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah kementerian Fahmi Fadzil menyekat akses kepada beberapa laman sesawang. Gambar: SKMM
Terdapat beberapa siri tindakan keras terhadap media yang mengkritik kerajaan, dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah kementerian Fahmi Fadzil menyekat akses kepada beberapa laman sesawang. Gambar: SKMM

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) agar tidak meneruskan gaya pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menyekat dan menyalahgunakan media kerajaan sebagai alat propaganda kerajaan. 

Ini susulan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat satu lagi portal berita, UtusanTV, yang terbaru dalam rentetan tindakan keras terhadap media yang dilihat mengkritik kerajaan.

Bersih juga melihat trend penurunan kebebasan media di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Satu asas utama demokrasi ialah akses bebas dan adil kepada media awam oleh semua parti politik tetapi malangnya Malaysia tidak pernah menyaksikan permainan adil seperti itu ketika kempen pilihan raya kita. 

“Kerajaan Perpaduan pimpinan PH terus menganggap media penyiaran awam milik kerajaan sebagai aset peribadi mereka dan menafikan pandangan kritikal oleh pembangkang daripada disiarkan," katanya dalam satu kenyataan.

UtusanTV, portal hal ehwal semasa yang mempunyai pengikut ramai di TikTok dikendalikan oleh sekumpulan bekas pekerja syarikat media Utusan Melayu yang kini dibubarkan, didapati disekat oleh SKMM semalam.

Ia adalah yang terbaru dalam siri cubaan SKMM untuk menghalang pengguna tempatan daripada mengakses laman sesawang berita dan kandungan politik, berikutan sekatan serupa yang dikenakan ke atas portal berita MalaysiaNow, Malaysia Today dan satu lagi blog yang dikendalikan oleh bekas ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Chee Kiong. 

Wee memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar SKMM, yang akan didengar minggu depan.

Suruhanjaya itu, yang diletakkan di bawah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, tetap berdiam diri dalam menghadapi kritikan terhadapnya.

Sambil menyifatkan SKMM sebagai salah satu institusi yang "lahir dalam era autoritarianisme", Bersih mengingatkan PH tentang ikrar pilihan rayanya dalam dua pilihan raya umum lalu, termasuk janji kebebasan media dan pemansuhan undang-undang zalim termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia, yang digunakan beberapa kali terhadap pengkritik di bawah kerajaan sekarang. 

“Dalam zaman kebolehcapaian media sosial ini, adalah sia-sia bagi mana-mana kerajaan untuk mencuba dan menyekat pihak lawan mereka," katanya sambil menambah akses kepada UtusanTV mesti dinyahsekat serta-merta. 

Ia memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyokong sebarang tindakan keras terhadap media walaupun dengan alasan untuk mengekang ekstremisme.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan dan semua pihak berkepentingan bahawa ekstremisme hanya boleh dibendung dengan langkah-langkah yang sah, disasarkan dan adil di satu pihak dan galakan perbahasan secara sihat dan membina. 

"Jika tindakan keras didorong oleh pihak tertentu, suara yang ditindas hanya akan menjadi lebih kuat di peringkat bawahan, dan menimbulkan bahaya yang lebih besar kepada kestabilan," kata kumpulan itu.