- Iklan -
Berita

Sanusi fail saman terhadap Saifuddin, beri syarat khusus permohonan maaf

Menteri besar Kedah itu diserang pemimpin di peringkat Persekutuan yang berkempen untuk merampas negeri tersebut pada Pilihan Raya Negeri minggu ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor hari ini mengotakan janjinya untuk memfailkan saman terhadap Saifuddin Nasution atas tuduhan memfitnah berhubung kenyataan setiausaha agung PKR itu yang menuduhnya terlibat dalam kecurian sumber nadir bumi (RER) di Kedah serta menyalahgunakan peruntukan.

Dalam saman yang difailkan oleh peguamnya hari ini, Sanusi memetik dua contoh Saifuddin membuat kenyataan berunsur fitnah pada 14 dan 15 Julai.

Sanusi menuntut permohonan maaf secara terbuka disiarkan di beberapa media utama, dengan syarat kata-kata permohonan maaf itu perlu diluluskan olehnya.

Antara kata-kata Sanusi yang mesti disertakan ialah pengakuan Saifuddin bahawa tuduhannya bermotifkan politik dan direka untuk memusnahkan nama baiknya serta menegaskan MB Kedah adalah seorang yang “berperibadi mulia, profesional dan telah mengurus negeri kedah dengan baik sekali”.

Sanusi juga menuntut Saifuddin memastikan semua video ucapan dan sidang media yang mengandungi kenyataan berunsur fitnah itu diturunkan dalam tempoh 48 jam selepas keputusan mahkamah, dengan aku janji jelas bahawa beliau tidak akan mengulangi tuduhan itu dalam apa jua bentuk termasuk untuk tujuan satira, analogi atau sindiran.

Dalam tuntutannya, Sanusi menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskan pampasan kewangan.

Saifuddin, yang juga menteri dalam negeri dan pemimpin barisan hadapan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam kempen untuk menjatuhkan pentadbiran Sanusi di Kedah pada PRN ini, berulang kali menuduh Sanusi terlibat dalam kecurian RER di hutan simpan. 

Sanusi sejak itu menolak tuduhan tersebut, dengan ketua pengarah tanah dan lombong negeri juga menafikan bahawa kes berkenaan ada kaitan dengan menteri besar.

Saifuddin juga menuduh Sanusi menyalahgunakan peruntukan bagi Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris), sambil menambah bahawa pentadbiran negeri penuh dengan masalah tadbir urus dan pendapatan yang rendah.

“Kutipan hasil kecil kerana dia bermain politik dia tak memerintah negeri,” kata Saifuddin.