- Iklan -
Berita

Tawaran PN realistik, kata Azmin

Azmin Ali memberikan jaminan bahawa tawaran gabungan itu untuk negeri Selangor boleh dilaksanakan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali memegang buku kecil Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor sewaktu pelancaran tawarn PN Selangor di Shah Alam, 4 Ogos.
Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali memegang buku kecil Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor sewaktu pelancaran tawarn PN Selangor di Shah Alam, 4 Ogos.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali memberikan jaminan tawaran gabungan itu untuk negeri Selangor boleh dilaksanakan dan realistik, berdasarkan statistik dan rekod pentadbiran beliau sebelum ini.

Katanya, ini kerana hasil kerajaan negeri yang bernilai lebih RM2 bilion pada 2017.

"Saya percaya setalah bertahun-tahun, hasil ini harus terus meningkat," katanya dalam sesi soal jawab selepas pengumuman tawaran PN di Shah Alam hari ini.

Katanya, kerajaan Selangor pernah mengemukakan belanjawan defisit RM450 juta pada tahun 2015 namun berjaya mendapat tambahan sebanyak RM250 juta pada penghujung tahun.

Menurut bekas menteri besar Selangor itu, selain hasil kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mempunyai simpanan tunai dengan nilai jutaan ringgit.

"Saya pernah panggil beberapa datuk bandar, mengapa harus disimpan rizab begitu banyak? Bukan tugas PBT untuk mengutip faedah daripada bank.

"Arahan yang kita berikan ketika itu ialah kita arahkan PBT yang kaya supaya mencairkan aset dan gunakan untuk membaiki longkang, taman permainan dan lif-lif yang rosak."

Azmin yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang berkata, tawaran gabungan itu adalah kepada semua rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, ini dapat dibuktikan apabila kerajaan pusat di bawah Muhyiddin Yassin memperkenalkan pakej rangsangan sebanyak RM600 bilion yang tidak disasarkan kepada satu-satu kaum.