- Iklan -
Berita

Serah pada Sultan Selangor, kata Azmin berhubung calon menteri besar

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor itu berkata gabungan itu mengutamakan langkah menangani isu berkaitan dasar ekonomi dan kos sara hidup di negeri itu.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Calon Perikatan Nasional Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali berucap semasa kempen di Taman Melawati, 3 Ogos.
Calon Perikatan Nasional Hulu Kelang Mohamed Azmin Ali berucap semasa kempen di Taman Melawati, 3 Ogos.

Pelantikan calon menteri besar daripada Perikatan Nasional (PN) akan diserahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah sekiranya gabungan itu berjaya menawan negeri terkaya Malaysia itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, kata Mohamed Azmin Ali.

"Itu terpulang kepada pihak Istana kerana kuasa melantik menteri besar ialah kuasa mutlak Sultan. 

"Saya yakin Tuanku akan bertindak mengikut perlembagaan dan undang-undang tubuh kerajaan negeri," kata pengerusi PN Selangor ketika ditemui pemberita selepas satu ceramah di Hulu Kelang, malam tadi.

Azmin memasuki gelanggang PRN sebagai calon PN di Hulu Kelang, menentang calon Pakatan Harapan (PH), Juwairiya Zulkifli. 

Azmin berkata PN tidak akan mendahului kuasa Sultan Selangor.

"Apa yang dilakukan PN ialah meletakkan keutamaan kita iaitu menjaga kebajikan rakyat dan memulihkan ekonomi negeri. 

"Kita tidak bergelut mendapatkan kuasa tetapi kita mahu mandat supaya kita dapat melaksanakan dan menggubal dasar prihatin rakyat dan membantu pemulihan ekonomi," katanya.

PN masih belum mengumumkan calon menteri besar manakala PH melalui Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat mengekalkan penyandang, Amirudin Shari sebagai calon menteri besar daripada blok itu sekiranya menang pada 12 Ogos.

Azmin pernah menjadi menteri besar Selamgor dari 2014 sehingga 2018, susulan kegagalan Langkah Kajang yang mana PKR mahu menggantikan Khalid Ibrahim dengan presiden parti itu, Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Azmin kemudian membawa nama Amirudin untuk dicalonkan menteri besar menggantikan dirinya yang dilantik menjadi menteri hal-ehwal ekonomi di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad. 

Di bawah pentadbiran Azmin, PH berjaya memenangi 51 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Selangor (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14.

PRN Selangor akan berlangsung pada 12 Ogos ini bersekali dengan lima negeri lain iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, setelah semua negeri itu bertindak tidak membubarkan DUN masing-masing selaras dengan PRU15 November lalu.