- Iklan -
Berita

Tiada unsur kempen dalam ucapan Fahmi di masjid, kata polis Selangor

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata siasatan mendapati menteri komunikasi dan digital itu hanya memberi penjelasan mengenai insiden membabitkan kumpulan muzik Britain The 1975 baru-baru ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Polis mengesahkan tidak ada sebarang unsur kempen politik dalam ucapan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil yang dilaporkan berlaku di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang dekat Shah Alam pada Ahad lepas.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata ia berikutan hasil penelitian terhadap rakaman video berdurasi 12 minit yang mengandungi ucapan Fahmi di masjid itu.

"Tempoh 12 minit ucapan daripada menteri itu adalah berhubung penerangan berkaitan isu kumpulan muzik The 1975.

“Kita telah memanggil seramai lapan saksi termasuk pengadu dan mereka yang hadir ketika ucapan itu dibuat,”  katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.  

Beliau berkata pihak polis juga telah mengenal pasti pemilik akaun yang menyebarkan video itu dan usaha mengesannya sedang giat dilakukan kerana membuat kenyataan tidak benar.

"Kita sudah ada nama dan alamat dia. Perkara benar tidak mengapa tetapi yang memfitnah adalah satu kesalahan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.