- Iklan -
Berita

Azmin dedah lebih 30 ketua cawangan Umno Gombak nyata sokongan kepada PN

Pengerusi Perikatan Nasional Selangor itu berkata keputusan yang dibuat mereka bukan paksaan tetapi kebimbangan bagi menyelamatkan Selangor.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohammed Azmin Ali.
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohammed Azmin Ali.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohammed Azmin Ali mendedahkan sekumpulan besar pemimpin Umno bertemunya dalam satu pertemuan tertutup malam tadi bertujuan menyatakan sokongan penuh kepada gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Azmin ketika berucap dalam satu ceramah umum di Taman Melawati malam tadi, berkata mereka ialah kira-kira lebih 30 orang ketua cawangan Umno di kawasan Gombak. 

Katanya, mereka itu juga terdiri daripada ketua-ketua cawangan yang masih memegang jawatan dan sebahagian besar lain pula terdiri daripada ketua wanita cawangan dalam Parlimen Gombak. 

Jelas Azmin, mereka bertemunya bagi memberitahu kesediaan masing-masing untuk menyokong PN meskipun masih kekal dalam Umno.

"Enough is enough (Cukup-cukuplah). 

"Keputusan ini bukan dibuat dengan paksa tetapi dengan 'concerns' (kebimbangan) dan kesedaran bahawa kita bertanggungjawab untuk menyelamatkan negeri dan negara ini," katanya pada sesi Ceramah Umum bagi DUN Hulu Kelang. 

Mengulas lanjut, Azmin yang juga calon PN bagi DUN tersebut berkata sehingga kini beliau masih diasak oleh ramai pihak termasuk media bertanyakan apakah "push factors" (faktor pendorong) yang menyebabkan kebangkitan luar biasa yang menyaksikan sokongan terhadap gabungan itu menjelang hari mengundi PRN 12 Ogos ini.

Ujarnya, ramai pihak melabelkan sokongan terhadap PN dengan nama "gelombang hijau". 

Bagaimanapun, Azmin menafikan gelaran itu dengan mengatakan ianya satu bentuk propaganda yang digunakan oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang untuk memberikan naratif jahat terhadap PN menyasarkan kepada pengundi bukan Melayu.

"Ini bukan gelombang hijau.

"Kerana yang berlaku bukan gelombang hijau, yang berlaku adalah gelombang ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan."