- Iklan -
Berita

MB Selangor ditekan isytihar PJD Link batal sepenuhnya

PSM berkata Amirudin Shari baru bulan lepas menyatakan beliau tidak bersedia membatalkan projek tersebut walaupun laporan EIA siap pada April.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi sepanduk dalam pelbagai bahasa membantah PJD Link di sepanjang Jalan Harapan di Petaling Jaya.
Seorang lelaki berjalan melepasi sepanduk dalam pelbagai bahasa membantah PJD Link di sepanjang Jalan Harapan di Petaling Jaya.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi komitmen untuk tidak melayan sebarang cadangan daripada syarikat swasta pada masa depan bagi menghidupkan semula projek lebuh raya kontroversi Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link).

Ini selepas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari malam tadi memberi bayangan bahawa projek tersebut akan dipertimbangkan semula jika terdapat keperluan.

Meskipun Amirudin mengumumkan pembatalan projek itu semalam, syarikat di sebalik rancangan itu masih boleh memberi tekanan kepada kerajaan negeri pada masa depan.

“Kerajaan Selangor dan kerajaan pusat harus memberi komitmen untuk tidak melayan sebarang cadangan daripada syarikat-syarikat swasta diikuti dengan moratorium untuk pembinaan lebuh rayq yang baru di kawasan Lembah Klang,” kata penyelaras PSM Petaling Jaya, Gandipan Nantha Gopalan.

Semalam, Amirudin mengumumkan PJD-Link, tidak akan diteruskan kerana tidak berpuas hati dengan laporan penilaian impak.

Amirudin juga mendakwa Perikatan Nasional (PN) meluluskan projek itu pada 2022, walaupun kerajaan Muhyiddin Yassin digulingkan hanya setahun sebelumnya. 

PSM berkata walaupun majoriti penduduk membantah PJD-Link, Amirudin baru-baru ini pada 14 Julai tahun ini semasa temu bual di radio, menunjukkan beliau tidak bersedia untuk membatalkan projek tersebut.

“Laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) telah pun disediakan dan diserahkan oleh syarikat PJD-Link kepada kerajaan negeri sebelum 5 April 2023. Kenapa keputusan ini tidak dibuat selepas menerima laporan EIA? Apa yang berubah sekarang? 

“Keputusan ini nampaknya dibuat hanya untuk meraih mata politik semasa pilihan raya negeri,” kata Gandipan. 

Semalam, Muda berikrar untuk mengekalkan tekanan kepada pihak berkuasa untuk tidak menghidupkan semula PJD-Link.

“Keputusan ini memberi gambaran seolah-olah hanya diambil untuk kumpulkan point politik semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

"Kita telah menyaksikan drama politik ini sebelum ini, dan sejarah telah menunjukkan bahawa projek seperti ini boleh muncul semula di bawah nama yang berbeza," kata calon Muda Bukit Gasing VKK Raja.

PJD Link, lebuh raya berkembar empat lorong yang akan bermula selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya Sprint dan berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil, dijenamakan semula daripada projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) yang dibatalkan pada 2015 ketika itu oleh menteri besar Mohamed Azmin Ali. 

Lebuh raya itu akan melalui kawasan DUN seperti Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara yang kesemuanya merupakan kubu kuat gabungan PH yang berharap dapat mengekalkan kuasa di negeri itu, kali ini bersama Barisan Nasional.

“Kerajaan negeri tidak seharusnya mengklasifikasikan perjanjian konsesi pembangunan penting yang menjejaskan kesejahteraan rakyat di bawah Akta Rahsia Rasmi. 

"Rakyat berhak mengetahui dan mengakses kandungan dokumen itu kerana ini adalah hak demokrasi kita," tambahnya.