- Iklan -
Berita

MB Selangor batal lebuh raya kontroversi PJD Link

Amirudin Shari berkata kerajaan negeri tidak berpuas hati dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan untuk pembinaan lebuh raya itu.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang pejalan kaki melalui berhampiran kain rentang yang digantung oleh penduduk bagi membantah pembinaan Lebuhraya PJD-Link di kawasan berkenaan di Jalan SS17.
Seorang pejalan kaki melalui berhampiran kain rentang yang digantung oleh penduduk bagi membantah pembinaan Lebuhraya PJD-Link di kawasan berkenaan di Jalan SS17.

Kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan pembinaan lebuh raya kontroversi di Petaling Jaya, memetik rasa tidak puas hati dengan laporan penilaian impak untuk Lebuhraya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link). 

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dalam satu kenyataan berkata cadangan pembinaan lebuh raya itu mendapat kelulusan secara prinsip daripada Kabinet pada 12 November 2017.

Beliau berkata perjanjian konsesi antara pemaju dan kerajaan, yang diketuai Perikatan Nasional ketika itu, ditandatangani pada 5 April 2022, dengan syarat syarikat itu terlebih dahulu melaksanakan Kajian Environmental Impact Assessment (EIA), Kajian Social Impact Assessment (SIA), dan Kajian Traffic Impact Assessment (TIA).

“Berkait dengan laporan penilaian impak yang dikemukakan, terutamanya dari segi laporan impak sosial, pentadbiran ini tidak berpuas hati dengan pelan yang dikemukakan kerana tidak menepati syarat yang ditetapkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

“Oleh yang demikian, kerajaan Selangor tidak berhasrat untuk meneruskan dengan cadangan ini dan memutuskan untuk membatalkan permohonan pembinaan lebuh raya PJD-Link.

PJD Link dirancang sebagai lebuh raya berkembar empat lorong untuk dimulakan selepas plaza tol NKVE di Lebuhraya Sprint, berakhir di Persimpangan Lebuhraya Bukit Jalil.

Ia akan dihubungkan dengan Petaling Jaya Utara, Bandar Utama, Taman Tun Dr Ismail, Pusat Bandar raya Petaling Jaya, Taman Dato Harun, Taman Medan Baru, Taman Sri Manja, Bandar Kinrara dan Technology Park Bukit Jalil, menjejaskan beberapa kawasan termasuk Bukit Gasing, Bandar Utama dan Kinrara. 

Penduduk Petaling Jaya membangkitkan kebimbangan mengenai lebuh raya itu, menunjukkan persamaannya dengan Lebuhraya Kidex dan bertanya mengapa projek yang telah dibatalkan pada 2015 kini nampaknya membuat kemunculan semula dalam bentuk PJD Link.