- Iklan -
Berita

Najib minta saya bersihkan namanya berhubung RM2.6 bilion dalam akaun peribadi, kata Zeti

Zeti Akhtar Aziz berkata beliau menerima permintaan yang sama daripada seorang anggota Kabinet, dan beliau menolak kedua-duanya.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 27 Julai. Gambar: Bernama
Bekas gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akhtar Aziz di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, 27 Julai. Gambar: Bernama

Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz memberitahu Mahkamah Tinggi semalam bahawa Najib Razak telah memintanya membersihkan nama beliau berhubung RM2.6 bilion yang ada dalam akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, Zeti berkata beliau enggan mematuhi permintaan Najib kerana tidak mempunyai pengetahuan tentang akaun bank milik bekas perdana menteri itu.

“Saya dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri. Beliau (Najib) meminta saya untuk mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung akaun banknya.

“Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya tidak boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana saya tidak mempunyai pengetahuan tentang transaksi yang telah berlaku dalam akaunnya. Beliau menerima keputusan saya,” kata Zeti, saksi pendakwaan ke-46, pada perbicaraan Najib yang menghadapi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas gabenor itu berkata tidak lama selepas mesyuarat itu, beliau menerima panggilan daripada seorang menteri yang membuat permintaan yang sama untuk beliau mengeluarkan kenyataan sedemikian dan beliau telah memberikan jawapan yang sama. 

Zeti, 76, yang menjadi gabenor BNM selama 16 tahun sejak 2000 memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun bank peribadi Najib pada masa itu.

“Mengenai dakwaan yang dibuat oleh Najib semasa temu bualnya dengan Malaysiakini yang disiarkan pada 2 Julai 2018, di mana beliau mendakwa bahawa saya  mengetahui tentang RM2.6 bilion dalam akaunnya di AmIslamic Bank Berhad dan bahawa saya tidak membangkitkan sebarang soalan mengenainya, saya ingin menyatakan dengan jelas bahawa saya tidak mengetahui transaksi yang dilakukan dalam akaunnya pada masa itu,” katanya.

Zeti menjelaskan bahawa semua pemegang akaun dalam sistem kewangan dilindungi oleh peruntukan kerahsiaan perbankan dalam perundangan, justeru, tiada sesiapa boleh mengakses mana-mana akaun melainkan institusi kewangan berkenaan mengesan aktiviti yang mencurigakan dalam akaun dan melaporkannya kepada bank pusat.

Beliau berkata dakwaan yang dibuat oleh Najib adalah palsu kerana pada masa itu, beliau tidak tahu bahawa jumlah RM2.6 bilion telah dimasukkan ke dalam akaun bekas menteri kewangan itu dan dana itu milik 1MDB.

Zeti yang berkhidmat dengan bank pusat itu selama 35 tahun berkata kebimbangan utama pada masa itu ialah AmBank tidak melaporkan kepada BNM mengenai lebih 500 transaksi berkaitan akaun itu yang mencurigakan atau tidak teratur seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

“Susulan siasatan, AmBank mengakui mengenai tiada pendedahan ini, laporan palsu dan kegagalannya dalam pematuhan peraturan berhemat.

“AmBank membayar penalti tertinggi dalam sejarah kami berjumlah RM59 juta dan juga dikehendaki memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta untuk tindakan pemulihan bagi mengukuhkan sistem dalamannya bagi pematuhan pencegahan pengubahan wang haram/mencegah pembiayaan keganasan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Zeti memberitahu mahkamah bahawa tiada seorang pun dalam keluarganya pernah mengambil wang 1MDB.

Ahmad Akram: Daripada semua transaksi ini, adakah kamu atau ahli keluarga kamu menerima sebarang faedah daripada 1MDB?

Zeti: Tiada seorang pun daripada ahli keluarga saya menerima atau mengambil wang 1MDB, walaupun satu sen.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 14 Ogos.