- Iklan -
Berita

Rayuan kes saman fitnah Apandi terhadap Kit Siang didengar 8 Ogos

Bekas peguam negara itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Mei tahun lalu, yang menolak samannya berhubung artikel Lim mengenai skandal 1MDB.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama
Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah RM10 juta yang difailkan beliau terhadap Lim Kit Siang.

Peguam M. Visvanathan yang mewakili Apandi serta peguam Simranjit Kaur Chhran yang mewakili Lim mengesahkan kepada Bernama tarikh perbicaraan itu selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Ahmad Fairuz Mohd Puzi hari ini.

Pada 23 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman fitnah Apandi terhadap veteran DAP itu kerana mendakwa memfitnahnya dalam artikel mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam samannya yang difailkan pada 5 Julai 2019, Mohamed Apandi mendakwa pada 6 Mei 2019, Lim telah menulis dan menyebabkan artikel bertajuk "Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity” disiarkan portal berita Malaysiakini.

Mohamed Apandi mendakwa perkataan berunsur fitnah dalam artikel itu membawa maksud bahawa beliau terlibat dalam jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang individu yang tidak bermoral dan berintegriti, tidak beretika serta telah menyalahgunakan kuasanya ketika menjadi peguam negara. 

Apandi yang menyandang jawatan Peguam Negara dari 27 Julai 2015 hingga 4 Jun 2018, mendakwa perkataan fitnah itu tidak benar dan ditulis dengan niat mencemarkan imej serta kredibilitinya sebagai bekas peguam negara Malaysia bagi meraih publisiti murahan.

Beliau menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta ganti rugi am RM10 juta, perintah injunksi bagi menghalang Lim dan/atau ejennya daripada terus menerbitkan perkataan yang didakwa berunsur fitnah dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Apandi memfailkan rayuan itu pada 24 Mei tahun lepas.