- Iklan -
Berita

Fahmi salah guna kuasa arah agensi siasat poster berkaitan PAS, kata kumpulan peguam

Lawyers for Liberty berkata ia jelas menyalahgunakan kuasa menteri.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil. Gambar: Bernama

Sebuah kumpulan peguam hari ini mendakwa Fahmi Fadzil menyalahgunakan kuasanya sebagai menteri dalam mengarahkan laporan dibuat kepada sebuah agensi di bawah bidang kuasanya berhubung poster yang menuduhnya mengarahkan penyokong kerajaan mencipta naratif jahat untuk menyalahkan PAS dalam isu pembatalan Festival Good Vibes 2023 baru-baru ini.

Lawyers for Liberty (LFL) dalam satu kenyataan berkata tindakan itu adalah "konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa yang jelas bahawa seorang menteri mengarahkan atau menggerakkan pihak berkuasa di bawahnya untuk melakukan siasatan ke atas poster yang dikatakan fitnah terhadap dirinya”.

Pengarah LFL Zaid Malek menambah bahawa Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) mahupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tidak boleh digunakan untuk kepentingan peribadi.

"Memandangkan menteri sendiri yang memulakan perkara itu secara terbuka, ia memberi tekanan yang tidak wajar kepada agensi penguatkuasaan dan menjejaskan keadilan siasatan. Ini sepatutnya difahami dengan jelas oleh Fahmi," katanya.

Poster yang tular di media sosial itu mendakwa Fahmi memberi arahan supaya PAS diketengahkan sebagai parti ekstremis dalam usaha untuk mengalihkan perhatian daripada kesalahan yang dilakukan selepas meluluskan permit kepada kumpulan rock dari UK, The 1975, untuk membuat persembahan di Malaysia. 

Fahmi berkata pada 24 Julai lalu KKD mengarahkan agar laporan dibuat mengenai perkara itu kepada SKMM dan polis. 

Zaid berkata, sebagai menteri, Fahmi bertanggungjawab menegakkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan dan memuhasabah dirinya daripada "menggunakan kuasa untuk menafikan hak ini".

“Beliau tidak boleh sesuka hati menggunakan pihak berkuasa di bawah bidang kuasanya untuk menundukkan pengkritik politiknya kepada siasatan jenayah. 

“Fahmi tidak mempunyai keistimewaan untuk terlepas daripada kritikan atau menggunakan jentera kerajaan untuk membersihkan namanya sendiri,” katanya.

Tambahnya, Fahmi bebas memfailkan saman sivil kerana memfitnah mereka yang bertanggungjawab ke atas poster itu.

Zaid berkata tiada asas undang-undang untuk melibatkan pihak penguat kuasa bagi membersihkan dakwaan yang dibuat terhadap menteri itu.

"Sememangnya, terdapat bau Stalinisme mengenai perlakuan menteri seperti ini," tambahnya. 

"Badan penguatkuasaan tiada urusan yang mengganggu 'kecederaan' kepada 'imej' kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

“Dalam semua keadaan, imej kerajaan bukanlah alasan yang wajar untuk mengehadkan kebebasan bersuara dalam apa jua cara sekali pun."