- Iklan -
Berita

Penyandang tak tercalon semula diminta terima keputusan DAP, kata Loke

Anthony Loke berkata ia adalah persoalan memperbaharui barisan dengan 'calon muda'.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke. Gambar: Bernama

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berharap penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada parti itu yang tidak tercalon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini akan menerima keputusan tersebut dan memberi laluan kepada muka baharu.

Beliau berkata di Pulau Pinang, DAP telah mentadbir kerajaan negeri selama tiga penggal dan bakal memasuki penggal keempat, justeru terdapat keperluan untuk memperkenalkan muka baharu sebagai sebahagian daripada pelan peralihan parti untuk masa depan.

"Saya harap sebaik sahaja kami memuktamadkan senarai calon, semua pihak akan menerimanya termasuk penyandang yang tidak tercalon semula untuk bertanding. Memang ada penyandang kerusi DUN yang tidak akan dicalonkan semula.

"Ini bukan soal mahu menjatuhkan sesiapa sebaliknya kita berhasrat untuk membarisi senarai calon dengan muka baharu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam kutipan dana DAP Pulau Pinang di Georgetown malam tadi.

Turut hadir pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PKR Saifuddin Nasution Ismail. 

Loke berkata DAP Pulau Pinang dijangka mengemukakan senarai calon parti itu dalam tempoh beberapa hari lagi yang akan dibahaskan dan diputuskan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai lima orang termasuk beliau.

DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi dan sebelum pembubarannya bulan lepas, DAP menguasai 19 dengan memenangi setiap kerusi yang ditandingi di antara tahun 2013 dan 2018.

Ditanya mengenai rancangan mereka untuk meraih undi orang Melayu, Loke berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberikan tumpuan kepada perkara itu dengan mengadakan lawatan kerja ke Kedah dan Pulau Pinang baru-baru ini.

"Dalam tempoh beberapa minggu akan datang, beliau akan terus meluangkan lebih banyak masa untuk mendekati komuniti orang Melayu. Banyak jaminan yang perlu diberikan iaitu mereka tidak akan rugi apa-apa hanya kerana DAP berada dalam gabungan politik ini.

"Hasrat dan semangat Kerajaan Perpaduan adalah mentadbir negara ini secara stabil serta aman agar Malaysia dapat dibangunkan dan rakyat hidup sejahtera," katanya.