- Iklan -
Berita

Siapa penyokong Najib bakal sokong dalam 6 PRN?

Penganalisis politik menyuarakan pandangan berbeza terhadap pengaruh bekas perdana menteri itu dalam Umno meskipun dia kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun akibat rasuah.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penyokong Najib Razak menunggu di luar Istana Kehakiman sebelum keputusan rayuan terakhir bekas perdana menteri itu dalam kes SRC International, 23 Ogos 2022.
Seorang penyokong Najib Razak menunggu di luar Istana Kehakiman sebelum keputusan rayuan terakhir bekas perdana menteri itu dalam kes SRC International, 23 Ogos 2022.

Tujuh bulan selepas pembentukan pentadbiran kerajaan campuran, nasib bekas perdana menteri, Najib Razak masih tidak berubah walaupun Umno menuntut keadilan untuk beliau.

Ia mengakibatkan penyokong-penyokong Najib dalam Umno merasa tidak berpuas hati, sehingga kedengaran usaha untuk memboikot gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos akan datang.

Penyokong Najib dalam Umno juga antara yang lantang menyerang bekas musuh ketat mereka iaitu DAP dan PKR.

Antaranya ialah dua pemimpin Umno Johor, Fuad Zarkashi dan Shahrir Samad.

Bercakap kepada MalaysiaNow, penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali mengakui Najib masih berpengaruh dalam Umno.

"Saya yakin Najib masih boleh beri impak terhadap situasi Umno untuk berdepan dalam PRN ini. Jika beliau tidak merestui, kemungkinan sebahagian ahli Umno akan mengikut beliau.

"Tetapi adakah mereka akan menyokong Perikatan Nasional (PN)? Jika Najib meminta sokong, mungkin mereka akan sokong," katanya.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau yang juga bekas ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam rayuan peringkat tertinggi di Mahkamah Persekutuan selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak pembelaan beliau.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi cuba meredakan suara penyokong Najib apabila meminta mereka mengundi calon-calon PH-BN dalam PRN untuk membela nasib Najib.

Zahid juga tidak segan-silu menyatakan partinya akan membela Najib dalam Perhimpunan Agong Umno bulan lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Gabungan PH-BN mampu melakar kemenangan besar di sesetengah kerusi, namun isu yang menjadi persoalan ialah keboleh pindahan undi penyokong BN kepada PH yang sebelum ini dibicarakan pemerhati politik.

Bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaludin sebelum ini menjangkakan penyokong BN mungkin akan memilih untuk mengundi PN berbanding PH.

Katanya, mereka tidak akan mempunyai masalah mengundi gabungan politik berasaskan Melayu dan Islam.

Namun bagi Mazlan, penyokong Najib tidak meletakkan kemarahan mereka ke atas Anwar kerana pendakwaan terhadap Najib dilakukan ketika era Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, katanya desakan untuk membebaskan Najib akan terus kedengaran apatah lagi Umno menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia Azmil Tayeb pula berkata, pengaruh Najib tidak sampai ke tahap mampu melakukan hayunan undi.

"Trend sekarang adalah ramai penyokong Umno akan berhijrah ke PN tak kira sama ada mereka penyokong Najib atau tidak.

"Manakala jentera Umno manakala akan tetap berjalan walaupun dengan semangat yang rendah," katanya.