- Iklan -
Berita

‘Saya lebih awal dari kamu’, kata Azmin kepada Anwar berhubung pelaburan Elon Musk

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, lawatan ke pejabat Musk di Amerika Syarikat dilakukan tahun lepas.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada MalaysiaNow di Bangsar.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada MalaysiaNow di Bangsar.

Perbincangan dengan syarikat milik Elon Musk dilakukan lebih awal, kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Mohamed Azmin Ali ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim “menjual nama” pemilik Tesla itu dalam kempen politiknya. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, lawatan ke pejabat Musk di Amerika Syarikat dilakukan tahun lepas.

"Aku dah pergi ibu pejabat Elon Musk, berunding dengan SpaceX dan bincang bawa pelaburan. 

“Aku lebih awal daripada kamu, sebab itu saya hantar semula 'posting' tahun lepas," katanya dalam satu ceramah di Gombak, Selangor malam tadi. 

Azmin merujuk kepada berita mengenai lawatannya yang dikongsi semula olehnya di laman media sosial beliau.

Pada tahun Mei 2022, delegasi misi dagangan Malaysia diketuai bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan pemain industri di Amerika Syarikat yang mana Azmin melawat fasiliti SpaceX di Los Angeles bagi membincangkan perkhidmatan Starlink di Malaysia.

Starlink merupakan syarikat satelit yang dioperasikan SpaceX yang memberikan perkhidmatan rangkaian internet. 

Anwar pada Jumaat bertemu dengan Musk yang memiliki syarikat pembuat kereta elektrik, Tesla dalam satu sidang secara maya selama 25 minit. 

Azmin turut menyindir sidang itu apabila Musk membuat beberapa ciapan di Twitter semasa pertemuan itu.

Sebelum itu, Anwar menggambarkan pertemuan bersama Musk diadakan secara fizikal. 

Anwar juga tidak membuang masa menjadikan pertemuan itu sebagai satu hujah politik untuk menguatkan kredibiliti beliau.

"Orang cuba nak cakap dengan dia (Musk), nak pujuk dia datang ke negara begitu sukar. Saya Alhamdulillah. 

"Dia setuju untuk melabur lagi ke Malaysia, anggap Malaysia sebagai negara penting dan Insya Allah dalam masa terdekat, dia akan datang ke Malaysia," kata Anwar dalam satu majlis.

Azmin yang turut mengecam tindakan Anwar yang didakwa berbohong mengenai pelaburan Amazon Web Services (AWS).

"Semua orang telefon dia, dia cerita. Dia kata AWS nak melabur di Malaysia hanya setelah kerajaan Madani terbentuk. 

"Mana Amazon tahu Madani ini apa?"

AWS membawa melabur sebanyak RM25 bilion untuk membina pusat data di negeri Selangor.