- Iklan -
Berita

Realisasikan dasar gaji progresif demi kesejahteraan rakyat, kata kesatuan sekerja

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia berkata kerajaan mesti campur tangan dalam kenaikan gaji tahunan dan kuasa pasaran tidak dapat menentukan harga buruh.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pekerja pejabat bersesak-sesak ke dalam LRT di Kuala Lumpur selepas seharian bekerja di ibu kota.
Pekerja pejabat bersesak-sesak ke dalam LRT di Kuala Lumpur selepas seharian bekerja di ibu kota.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap agar keputusan kerajaan mengkaji dasar gaji progresif dapat direalisasikan demi menjamin kesejahteraan rakyat pada masa depan. 

Setiausaha Agungnya Kamarul Baharin Mansor berkata jurang yang semakin melebar antara pertumbuhan gaji dan kos sara hidup pada masa ini dilihat membebankan, justeru pelaksanaan dasar berkenaan mampu memberikan impak positif terutamanya kepada golongan pekerja bawahan. 

“MTUC memuji Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) yang mencadangkan gaji progresif kepada pekerja. Kesungguhan beliau untuk membantu pekerja mengharungi kehidupan pada masa kini dan akan datang adalah manifestasi kerajaan Madani.

“Kerajaan mesti memikirkan kaedah luar biasa bagi memberi manfaat kepada golongan terbanyak dalam negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kerajaan juga perlu memainkan peranan berkaitan kenaikan gaji tahunan berikutan kedegilan dan ketamakan sesetengah syarikat yang menghalang peningkatan gaji. 

Katanya kuasa pasaran tidak boleh menentukan harga buruh kerana pekerja mempunyai tanggungjawab pada keluarga dan masyarakat, selain golongan pekerja bukanlah mesin atau komoditi yang boleh didagangkan.

“Dasar gaji minimum yang telah bermula pada 2013 tidak memerlukan majikan memberikan kenaikan tahunan kepada pekerja.

“Kesan daripada tiada kenaikan gaji tahunan itu membuatkan gaji pekerja statik dan tidak berubah menyebabkan pekerja yang telah bekerja lebih 25 tahun menerima gaji RM1,500. Keadaan ini amat memeritkan pekerja yang berusaha keras tetapi tidak setimpal dengan gaji yang dibayar,” katanya.

Terdahulu, Kementerian Ekonomi hari ini dalam kenyataan memaklumkan sedang menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia dalam merangka beberapa pilihan dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang akan membincangkan strategi terbaik bagi meningkatkan gaji rakyat.

Rafizi berkata bagi tujuan itu, sesi libat urus dengan pihak berkepentingan utama iaitu kerajaan, majikan dan pekerja akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak.