- Iklan -
Berita

Masa depan BN selepas MCA, MIC tak sertai PRN

Pemerhati politik berpendapat keputusan dua komponen BN itu untuk tidak bertanding ialah jalan keluar terbaik ekoran kebarangkalian menang tipis jika calon-calon mereka diletakkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli & Nur Hasliza Mohd Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
MCA dan MIC adalah komponen Barisan Nasional bersama Umno di Semenanjung.
MCA dan MIC adalah komponen Barisan Nasional bersama Umno di Semenanjung.

Setelah enam dekad mendominasi landskap politik tanah air, kelangsungan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan politik menjadi persoalan apabila hala tuju parti-parti komponen dalam BN masih belum jelas setelah mengalami kekalahan paling memalukan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

BN yang kini membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri-negeri terlibat namun dua komponen utamanya, MCA dan MIC membuat keputusan untuk tidak bertanding.

Hanya Umno, yang menjadi tunjang BN selama ini, akan mempertaruhkan calon mereka.

Bercakap kepada MalaysiaNow, pemerhati politik Azizi Safar berkata, Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi BN gagal membawa kepentingan MCA, MIC dalam rundingan bersama PH.

"Apakah ia akan beri kesan kepada survival (kelangsungan) BN selepas PRN nanti? Perlu tunggu dan lihat," katanya kepada MalaysiaNow.

Kedua-dua parti komponen itu menyangkal dakwaan mereka memboikot PRN, dengan Timbalan Presiden MIC M Saravanan memaklumkan mengenai “semangat Cameron Highlands” yang mana parti itu memberi laluan kepada Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, ketika kali pertama PH menjadi kerajaan.

Sebelum ini, Umno dan kedua-dua rakan kongsi bertikam lidah apabila ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Lokman Adam merangkap ketua sekretariat media perpaduan menuduh MCA dan MIC sebagai “biawak hidup”.

Kenyataan itu mengundang reaksi tidak senang daripada kepimpinan kedua-dua parti komponen tersebut.

MCA sebagai contoh, mempersoalkan keberadaan Umno dalam BN dalam satu wawancara bersama media tempatan.

"Kalau beliau (Lokman) rasa BN sudah tidak relevan, Umno sebagai sebuah parti dalam BN boleh keluar sahaja. Kami masih menyokong prinsip dan perjuangan itu," menurut Neow Choo Seong, timbalan pengerusi biro komunikasi MCA.

Ketua Penerangan MIC Thinalan Rajagopalu pula berkata, Lokman wajar membawa satu resolusi untuk mengeluarkan parti tersebut daripada BN jika berat beban memikul MIC.

Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaludin yang pernah menjadi ketua Pemuda Umno berkata tidak mustahil situasi itu menjadi penghujung kepada BN. 

Beliau turut menegaskan perlembagaan BN yang memberikan satu undi kepada setiap satu parti. 

"Kalau MCA, MIC dan PBRS buat keputusan, dia boleh tendang Umno keluar (daripada BN)," katanya. 

Azizi yang juga bekas setiausaha eksekutif BN Pulau Pinang berkata, pengumuman untuk tidak bertanding oleh MCA dan MIC ialah jalan keluar yang terbaik untuk mereka, ekoran kebarangkalian menang yang rendah jika calon-calon mereka diletakkan.

Sebagai rekod, BN selepas kekalahan pada PRU15 hanya dianggotai empat parti komponen, setelah parti-parti Sabah dan Sarawak meninggalkan gabungan tersebut, termasuk parti Gerakan.

Empat parti itu ialah Umno, MCA, MIC dan PBRS.

Umno dilihat cuba berbaik-baik dengan DAP selepas pembentukan kerajaan campuran meskipun ada pergeseran antara kedua-dua bekas musuh ketat itu.

Bahkan Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, kerajaan campuran mampu bertahan untuk beberapa siri pilihan raya akan datang.

Azizi berkata, MIC dan MCA sudah bersama dengan Umno lebih lama berbanding kerjasama dengan DAP yang belum mencecah setahun.

Bertindak keluar BN?

Dalam pada itu, Ketua Penyelidik di O2 Research Malaysia Anis Anwar Suhaimi pula meramalkan kedua-dua parti komponen itu tidak akan semudahnya bertindak keluar dari BN.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau berkata, selain faktor sejarah yang panjang bersama Umno, kedua-dua parti itu juga perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan lain dalam menentukan masa depan dan hala tuju mereka.

Tambahnya lagi, mereka juga akan melihat masa depan parti Gerakan sebagai parti komponen mewakili kaum bukan Melayu dalam Perikatan Nasional (PN) yang dilihat sebagai parti orang Melayu menerusi PRN kali ini.

Selain itu, katanya, mereka juga akan meneliti sama ada hubungan DAP dengan MIC dan MCA dalam jangka masa panjang dapat memberi pulangan politik kepada mereka atau sebaliknya.

Seterusnya, kata Anis, keputusan undian PRN di 6 negeri akan datang pula akan mengundang reaksi MCA, MIC dan PBRS terhadap kepimpinan BN dan keberkesanan strategi semasa.

"Kesemua faktor-faktor ini akan mempengaruhi bentuk kepimpinan BN pasca PRN.

"Dan MIC dan MCA wajar memikirkan tentang bagaimana untuk menumpukan pada pemulihan parti berbanding kerusi yang ditandingi berserta menunjukkan kekuatan politik mereka dalam kerjasama politik dalam BN."

Mengulas lanjut, Anis berkata PRN yang bakal menyusul pada 12 Ogos ini melibatkan lima negeri Melayu termasuk Selangor dan satu negeri campuran di Pulau Pinang.

Ini bermaksud, kuota kerusi Melayu yang dipertandingkan menjadi lebih banyak berbanding kerusi bukan Melayu.

Ditambah pula dengan situasi BN perlu berkongsi kerusi dengan parti komponen kerajaan campuran menjadikan jumlah kerusi mereka semakin terbatas demi meningkatkan peluang untuk menang.

Justeru, kerusi-kerusi yang (dijangka) diberikan kepada BN adalah kerusi majoriti Melayu sementara kerusi bukan Melayu akan diberikan kepada DAP dan PKR.

Menurut Anis lagi, keadaan ini meletakkan Umno, parti utama dalam BN kepada keadaan yang dilema sama ada untuk  memberikan sebahagian kuota kerusi tersebut kepada parti komponen BN yang lain atau perlu ditandingi oleh Umno sahaja.

"Dalam situasi ini, kepimpinan Umno mengambil pendirian untuk tidak memperjudikan kebolehmenenangan mereka dengan memberikan kerusi Melayu kepada rakan BN yang lain. 

"Memandangkan tanggungjawab BN kali ini adalah untuk memastikan undi Melayu beralih kepada kerajaan menerusi Umno." 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi