- Iklan -
Berita

Keputusan PRN 6 negeri mungkin tak ubah status quo, kata pemimpin DAP

Bekas ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berkata Perikatan Nasional berkemungkinan mengekalkan Kedah, Kelantan, dan Terengganu, manakala Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mungkin akan menang di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera tiga gabungan politik utama negara – Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan – berkibar di perhentian bas di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras menjelang pilihan raya umum tahun lalu.
Bendera tiga gabungan politik utama negara – Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan – berkibar di perhentian bas di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras menjelang pilihan raya umum tahun lalu.

Bekas ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming berkata keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan tidak mungkin mengubah status quo melainkan perubahan ketara yang memihak kepada Pakatan Harapan (PH) dan rakannya Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN).

Dalam analisis keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lepas dan kemungkinan keputusan PRN, Ong, yang merupakan pakar strategi pilihan raya DAP, berkata jangkaan dalam kalangan pemerhati politik ialah PN berkemungkinan akan mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu, manakala PH-BN akan mempertahankan kerajaan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan. 

Berdasarkan keputusan pilihan raya pada 19 November 2022 lalu, katanya, nampaknya PN akan memenangi 32 daripada 36 kerusi DUN di Kedah, dan hampir semua kerusi di Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, PH-BN akan memperoleh 32 daripada 40 kerusi di Pulau Pinang, 42 daripada 56 kerusi di Selangor, dan 33 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan.

“Jumlah kerusi yang dimenangi PH, BN, dan PN dikira menggunakan tiga senario ‘perpindahan’ undi ‘rendah’, ‘neutral’ dan ‘tinggi’ antara PH dan BN. 

“Walaupun di bawah senario ‘rendah’ iaitu kadar pemindahan undi yang agak rendah iaitu 30% daripada BN kepada PH, kekuatan gabungan pilihan raya PH dan BN sudah memadai untuk mengekalkan Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dengan mudah. 

“Pada masa sama, walaupun dengan kadar pemindahan undi yang agak tinggi iaitu 70% daripada BN kepada PH, keputusan pilihan raya diraih PH dan BN di Kedah, Kelantan dan Terengganu, akan kekal terhad, berdasarkan keputusan PRU15,” katanya. 

Pada pilihan raya umum tahun lepas, PN mencatatkan pencapaian mengejutkan di beberapa negeri, malah memenangi beberapa kawasan yang secara tradisinya dilihat sebagai kubu kuat PH dan BN termasuk Permatang Pauh, yang lama disandang oleh ahli keluarga Anwar Ibrahim.

Parti komponen PN, PAS memenangi 43 kerusi secara keseluruhan, paling banyak berbanding mana-mana parti politik.

Ia diikuti DAP (40), PKR dan Bersatu (masing-masing 31), dan Umno (26). 

Dengan tiada satu parti pun memenangi sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan, PH dan BN akhirnya bergabung dengan kumpulan politik lain untuk membentuk kerajaan campuran ketika ini – satu langkah kontroversi memandangkan permusuhan mereka selama berdekad-dekad. 

Pemimpin tertinggi daripada kedua-dua gabungan meminta sokongan bersama menjelang PRN, yang dijadualkan diadakan pada 12 Ogos, walaupun beberapa pemerhati politik mempersoalkan sejauh mana ini akan berjaya, dan sama ada PN akan meneruskan penguasaan sokongannya di kalangan pengundi Melayu. 

Ong, dalam artikelnya yang diterbitkan oleh Iseas-Institut Yusof Ishak Singapura, memetik data Suruhanjaya Pilihan Raya yang katanya menunjukkan bahawa PN mendominasi pilihan raya di Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada PRU15 dengan masing-masing memenangi 14/15, 14/14 dan 8 /8 kerusi dan 54.3%, 62.9%, dan 61.8% undian.

“Begitu juga, PH mendominasi kawasan majoriti bukan Melayu di Pulau Pinang, memenangi 59.4% undi dan 10 daripada 13 kerusi Parlimen,” katanya.

"Gabungan undi PH dan BN masing-masing sebanyak 69.3% dan 76.3% di Selangor dan Negeri Sembilan dengan PH memenangi 17/22 kerusi Parlimen di Selangor dan PH+BN memenangi 8/8 kerusi Parlimen di Negeri Sembilan juga sepatutnya menyebabkan kedua-dua negeri dimenangi oleh PH+BN dalam pilihan raya negeri akan datang." 

Sambil menambah keputusan keseluruhan pilihan raya negeri tidak mungkin menjejaskan kestabilan di peringkat Persekutuan, Ong bagaimanapun berkata prestasi PH dan BN kekal penting, baik dari segi politik dan ekonomi. 

"Dari segi politik, keputusan itu akan mempengaruhi pemikiran dalam Umno tentang kelebihan strategik kerjasama dengan PH pada pilihan raya akan datang. Ia juga akan menjejaskan keyakinan keseluruhan pemimpin Umno dan ahli akar umbi terhadap presiden parti itu dan timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

“Bagi PH, persoalan penting sama ada ia boleh meningkatkan sokongan pengundi Melayu melalui kerjasama dengan Umno pimpinan Zahid akan terjawab dalam pilihan raya negeri ini. 

"Dari perspektif ekonomi, keputusan positif bagi kerajaan perpaduan akan memberi lebih banyak ruang untuk memperkenalkan lebih banyak pembaharuan ekonomi substantif selepas pilihan raya, termasuk rasionalisasi pelbagai subsidi umum ke arah program yang lebih bersasar."

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.