- Iklan -
Berita

Pegawai bank rugi lebih RM100,000 terpedaya pelaburan tidak wujud

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 32 tahun diminta memasukkan maklumat peribadinya dengan mengklik pautan yang diberikan melalui WhatsApp. Gambar: Bernama
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata mangsa yang berusia 32 tahun diminta memasukkan maklumat peribadinya dengan mengklik pautan yang diberikan melalui WhatsApp. Gambar: Bernama

Seorang pegawai bank mengalami kerugian sebanyak RM102,700 setelah terpedaya dengan sindiket pelaburan saham tidak wujud menerusi laman Facebook bulan lepas.

Ketua Polis Pahang Yahaya Othman berkata lelaki berusia 32 tahun itu telah melayari iklan "Popular Book CO (M) SDN BHD" di laman sosial tersebut yang menyatakan akan memberi beberapa buku pelaburan secara percuma.

"Mangsa diminta memasukkan maklumat peribadi di pautan yang diberi melalui aplikasi WhatsApp dan selepas menekan pautan diberikan ia telah membawa ke aplikasi sistem trade saham.

"Sejurus itu, suspek telah menawarkan pelaburan saham di platform PSLUS dan memaklumkan akan menerima keuntungan sebanyak 30 peratus setelah melabur sebanyak RM100,000," katanya menerusi kenyataan hari ini. 

Beliau berkata akibat terpengaruh dengan tawaran keuntungan yang lumayan, mangsa telah melakukan "pelaburan" menggunakan wang simpanannya dengan melakukan 12 kali transaksi ke enam akaun bank yang berlainan dalam tempoh tiga minggu. 

Katanya lelaki itu yang kemudiannya menyedari dirinya terpedaya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Tambah beliau, syarikat atau individu yang tidak diberi lesen atau kebenaran dari Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti tidak boleh menerima deposit dari mana-mana pihak.