- Iklan -
Berita

Guan Eng dakwa 'gelombang hijau' bakal musnahkan tokong, nafi hak agama di Pulau Pinang

Pengerusi DAP itu menyamakan nasib Pulau Pinang sebagai China di zaman Dinasti Ming ketika diserang tentera Mongol.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Lim Guan Eng. Gambar: Bernama

Pengerusi DAP Lim Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat "gelombang hijau" daripada bertapak di negeri itu, sambil mendakwa ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan, lapor China Press.

Akhbar berbahasa Cina itu memetik bekas ketua menteri Pulau Pinang itu sebagai berkata, jika "gelombang hijau tidak senang dengan tokong yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya".

"Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh bersembahyang kepada dewa dan Buddha," kata Lim ketika menghadiri sebuah acara keagamaan sempena Jelajah Raja Naga Putih Tian Fu Gong di Jelutong semalam.

[Nota pengarang: China Press sudah membuat pindaan kepada petikan ini, dengan menggantikan perkataan “tokong" kepada "kuil India” dan mengeluarkan perkataan “Buddha” menjadi: “jika gelombang hijau tidak senang dengan kuil India yang mereka lihat, mereka akan memusnahkannya. Tetapi selagi Pulau Pinang masih kekal sama, rakyat masih boleh menyembah dewa mereka.”

Ungkapan "gelombang hijau", iaitu merujuk kepada tema hijau PAS, kerap digunakan pemimpin DAP untuk menggambarkan pencapaian Perikatan Nasional (PN) dan parti Islam itu dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Lim menyifatkan sesiapa di Pulau Pinang yang menyokong "gelombang hijau" sebagai "pembelot dan pemberontak" yang akan dilaknat sehingga "meninggalkan reputasi busuk selama beribu-ribu tahun".

Lim turut memberi amaran Pulau Pinang bakal dilenyapkan di bawah pemerintahan "gelombang hijau" dan dijadikan sebahagian daripada Kedah.

Beliau membandingkan senario itu dengan serangan tentera Mongol, peristiwa abad ke-13 dan ke-14 yang menyaksikan perluasan empayar Mongol di China, yang dianggap sebagai salah satu pencerobohan tentera paling ganas dalam sejarah. 

Sambil menggambarkan Pulau Pinang sebagai China di zaman Dinasti Ming ketika berdepan pencerobohan askar Manchu, Lim berkata: "Kami adalah rakyat Pulau Pinang, bukan Wu Sangui."

Wu Sangui adalah seorang jeneral yang mengkhianati Dinasti Ming dengan melepaskan askar Manchu untuk menakluki China.

“Jangan bawa masuk askar Qing (Manchu) merentasi sempadan,” tambah Lim seperti dipetik oleh China Press.

Beliau seterusnya berkata "gelombang hijau" akan mengharamkan minuman keras, judi, seluar pendek dan salun dandanan rambut uniseks.

“Selagi Pulau Pinang masih diperintah oleh kerajaan yang sama, semuanya boleh kekal sama, jika tidak pada masa depan, ada yang terpaksa memakai baju ketika mandi.

"Gelombang hijau sangat berbahaya. Jika kita tidak berhati-hati, hak asasi rakyat akan dieksploitasi. Jadi kita harus melindungi Pulau Pinang," akhbar itu memetiknya sebagai berkata.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.