- Iklan -
Berita

Cadangan pengeluaran KWSP bulanan pastikan kecukupan pendapatan persaraan

Cadangan tersebut, seiring dengan usaha semasa agensi itu menggalakkan ahli untuk memilih pengeluaran bulanan secara berkala berbanding pilihan pengeluaran penuh.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ruang khidmat pelanggan yang terdapat di Menara KWSP Kwasa Damansara. Gambar: Bernama
Ruang khidmat pelanggan yang terdapat di Menara KWSP Kwasa Damansara. Gambar: Bernama

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang mempertimbangkan perubahan kepada mekanisme berupa pencen, dalam usaha membantu ahlinya mempunyai pendapatan pascapersaraan yang lebih stabil.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan cadangan tersebut, seiring dengan usaha semasa agensi itu menggalakkan ahli untuk memilih pengeluaran bulanan secara berkala berbanding pilihan pengeluaran penuh.

“Pada 2022, lebih 7,000 ahli telah memilih secara sukarela kaedah pengeluaran bulanan ini. Proses untuk menguatkuasakan mekanisme pengeluaran berkala ini sedang diteliti dan akan mengambil kira keupayaan dan kesiapsiagaan ahli untuk melakukan transisi ini.

“Cadangan ini akan melibatkan perubahan generasi yang akan mengambil masa yang agak lama sebelum dikuatkuasakan,” menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan KWSP itu memaklumkan transisi yang dicadangkan itu perlu, berikutan peningkatan purata jangka hayat rakyat Malaysia daripada 54 tahun pada 1957 kepada 75 tahun, pada masa ini.

“Purata jangka hayat ini dijangka meningkat di masa hadapan, di mana rakyat Malaysia akan hidup lebih lama dalam tempoh persaraan. KWSP akan terus menggalakkan ahli untuk menukar secara sukarela kepada pilihan pengeluaran bulanan ini,” menurut kenyataan KWSP itu.

Menurut kenyataan itu lagi, di bawah cadangan tersebut sebahagian daripada simpanan ahli sehingga had tertentu akan ditukar kepada pendapatan bulanan, manakala baki selebihnya boleh dikeluarkan secara penuh.

Ini bagi mengelakkan kemiskinan hari tua dan untuk mengagihkan pendapatan yang lebih tetap sepanjang tempoh persaraan.

“KWSP mengambil pendekatan pragmatik dan praktikal terhadap cadangan penambahbaikan polisi, seterusnya mengimbangi keperluan ahli semasa dengan keperluan untuk mengekalkan kecukupan simpanan selepas bersara.

“KWSP akan memaklumkan sebarang perubahan berkaitan polisinya kepada ahli yang terlibat sebelum perubahan ini berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.