- Iklan -
Berita

Cloudflare tidak kesan sebarang masalah pada sistemnya, Fahmi terus senyap isu sekat portal berita

MalaysiaNow kini sedang menunggu maklum balas daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Pembaca mengakses portal Berita MalaysiaNow melalui telefon pintarnya.
Pembaca mengakses portal Berita MalaysiaNow melalui telefon pintarnya.

Firma keselamatan siber dunia, Cloudflare tidak mengesan sebarang masalah pada sistem awannya ketika laman sesawang MalaysiaNow disekat akses selama 48 jam minggu lalu, sekali gus mencetuskan persoalan tentang percubaan secara haram untuk menyekat portal berita itu.

Seorang juruteknik Cloudflare dalam jawapan kepada pertanyaan oleh MalaysiaNow berkata mereka "tidak dapat mengenal pasti" isu itu, sambil menambah log dalaman juga tidak menunjukkan "sebarang kod ralat yang spesifik".

Penemuan itu dijangka mencetuskan persoalan terhadap pihak berkuasa mengenai penglibatannya dalam episod yang menyaksikan laman sesawang MalaysiaNow disekat akses kepada pengguna beberapa penyedia perkhidmatan internet (ISP) utama tempatan secara serentak.

"Sekatan itu disahkan berlaku apabila halaman sekatan dipapar, melalui bukti dalam bentuk ujian oleh Open Observatory of Network Interference dan CloudFlare," kata seorang pakar internet, sambil menambah sekatan sedemikian berupa tindakan yang disengajakan supaya MalaysiaNow "tidak boleh diakses pembaca di negara ini pada beberapa rangkaian secara serentak".

Sekatan itu bagaimanapun ditarik balik pada 29 Jun, berikutan kecaman daripada ahli politik pembangkang, kumpulan wartawan dan aktivis, yang menggesa Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil untuk berterus terang mengenai perkara itu.

Selain mengatakan beliau tidak pernah mengarahkan "mana-mana portal berita" disekat, Fahmi, yang kementeriannya bertanggungjawab ke atas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), masih belum memberi penjelasan mengenai episod itu.

Sehingga jam 3.00 petang hari ini, usaha MalaysiaNow untuk menghubungi Fahmi termasuk melalui aplikasi WhatsApp tidak berjaya apabila ahli Parlimen Lembah Pantai itu enggan memberikan sebarang respons.

Sebaliknya, salah seorang pembantunya berkata perkara itu perlu dirujuk kepada SKMM.

MalaysiaNow sudah pun menghubungi SKMM yang menjanjikan jawapan.

SKMM mempunyai kuasa mengarahkan ISP untuk menyekat mana-mana laman sesawang yang "tidak diingini".

Pada masa lalu, sekatan sedemikian diperluaskan ke atas portal berita dan laman sesawang yang lantang mengkritik kerajaan.

Sekatan terhadap MalaysiaNow dipercayai pertama kali dilakukan sejak 2016 membabitkan portal berita yang mempunyai akreditasi media daripada Jabatan Penerangan.

Ketika itu, portal berita The Malaysian Insider disekat oleh SKMM dipercayai berkaitan liputan meluas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tidak seperti The Malaysian Insider yang menerima notis sekatan oleh SKMM, tiada amaran sedemikian di keluarkan kepada MalaysiaNow dan juga Malaysia Today, sebuah laman sesawang politik dikendalikan oleh penulis blog terkenal Raja Petra Kamarudin yang berpangkalan di United Kingdom.

Raja Petra berkata pembacanya menurun sebanyak 70% berikutan sekatan ke atas pengguna beberapa ISP, termasuk Maxis.

Sekatan itu dilakukan selepas beberapa siri ugutan oleh Fahmi terhadap platform media sosial serta orang ramai, yang memberi amaran kepada mereka terhadap tindakan ke atas kandungan dalam talian. 

Fahmi baru-baru ini dikecam selepas membuat ugutan sama kepada penonton yang mengikuti sialan langsung TikTok, memberitahu pengkritiknya untuk "menjaga kelakuan" atau bersedia untuk ditangkap polis.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.