- Iklan -
Berita

Pemain industri, pakar tak setuju cadangan stesen minyak tanpa subsidi

Mereka berkata masalahnya terletak pada penguatkuasaan dan penggubalan undang-undang untuk menghalang pemandu asing daripada membeli petrol untuk rakyat Malaysia.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail menunjukkan notis kerajaan berkaitan peraturan pembelian bahan api untuk kenderaan asing yang dilihat di stesen minyak.
Gambar fail menunjukkan notis kerajaan berkaitan peraturan pembelian bahan api untuk kenderaan asing yang dilihat di stesen minyak.

Cadangan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub untuk mewujudkan stesen minyak tanpa subsidi di sekitar Johor Bahru tidak mendapat sambutan yang baik daripada pemain industri dan pakar ekonomi.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Khairul Annuar Abdul Aziz berkata daripada aspek perniagaan, ia hanya mampan sekiranya stesen tersebut dikendalikan oleh syarikat-syarikat besar iaitu pengusaha komersial yang membekalkan minyak kepada industri.

"Ia bermakna mereka membeli secara pukal daripada syarikat minyak dan mempunyai margin keuntungan yang tinggi," katanya kepada MalaysiaNow.

Minggu lalu Salahudin berkata kerajaan sedang meneliti lokasi sesuai bagi membangunkan stesen minyak tanpa subsidi di Johor Bahru.

Ini kerana terdapat banyak kes pembelian minyak bersubsidi oleh pengguna dari Singapura, meskipun minyak tersebut hanya untuk rakyat Malaysia.

Menurut Salahudin, kerajaan menjimatkan RM6 juta dengan mengadakan dua stesen minyak tanpa subsidi yang dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis.

Tahun lalu, kerajaan membelanjakan RM66 bilion untuk subsidi kepenggunaan merangkumi subsidi petrol, diesel, dan gas memasak, selain beberapa perkara lain.

Kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan subsidi bersasar bagi mengelakkan ketirisan bahan-bahan yang bersubsidi.

Menurut Khairul, stesen-stesen runcit sedia ada akan berdepan dengan saingan dari segi jualan RON97 kerana kenderaan asing tidak akan lagi membeli RON97 daripada stesen-stesen sedia ada.

Selain persaingan dengan stesen-stesen baru ini, katanya peruncit sedia ada akan berdepan saingan daripada kenderaan elektrik dan isu formula APM yang mana kenaikan kos masih belum diselesaikan antara pihak kerajaan dengan PDAM.

"PDAM berpendapat minyak tanpa subsidi perlu dijual melalui stesen-stesen sedia ada dan bukan melalui stesen baru.

“Mekanisme yang membantu dalam penguatkuasaan larangan penjualan minyak RON95 perlu di wujudkan, seperti penggunaan teknologi."

Sementara itu, pakar ekonomi daripada Institut Iris Adilah Zafirah Mohd Suberi berkata, menteri seharusnya memberi tumpuan kepada sistem subsidi bersasar dan penyaluran subsidi yang lebih efisien dan efektif untuk tangani isu kos sara hidup.

"Isu ketirisan subsidi kepada warga asing bukan setakat di Johor atau mana-mana sempadan. 

“Bagaimana dengan pekerja asing dan ekspatriat dalam negara.

“Isu ini hanya pada tahap penguatkuasaan yang mana pihak penguat kuasa perlu cari jalan untuk tambah baik," katanya.

Menurut Adilah, kerajaan wajar memikirkan sistem atau mekanisme untuk meningkatkan pendapatan negara dan agihan manfaat ekonomi yang adil, berbanding mengkaji stesen minyak.

Katanya, Isu tadbir urus membabitkan pelbagai kementerian, agensi dan pihak penguatkuasaan masih berada pada tahap lemah.

“Tiada sinergi antara kementerian dan agensi terlibat, apatah lagi mengoptimumkan penglibatan badan bukan kerajaan dan swasta dalam pembangunan negara.”

Khairul berkata, kerajaan perlu mendengar permintaan PDAM supaya menggubal satu undang-undang mengenakan saman terhadap pemandu-pemandu kenderaan asing yang mengisi minyak bersubsidi.

Baru-baru ini juga tular insiden seorang rakyat Malaysia diugut kerana menegur beberapa rakyat Singapura kerana mengisi minyak bersubsidi.

"Ini kerana mereka tidak takut dan tidak berasa bersalah kerana tiada undang-undang yang boleh dikuatkuasakan untuk mengambil sebarang tindakan ke atas pemandu-pemandu kenderaan asing ini.

“Sekiranya tiada, pemandu kereta asing (contoh pemandu daripada Singapura) tidak takut untuk terus membeli minyak bersubsidi.

"Bandingkan, jika kita disaman di Singapura atau Thailand, kita tidak boleh melepasi imigresen untuk balik ke Malaysia sekiranya tidak membayar saman yang dikenakan,” katanya.