- Iklan -
Berita

Shabery Cheek dilantik pengerusi Felda

Felda menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan tersebut akan meneruskan kesinambungan usaha transformasi Felda demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu Felda keseluruhannya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah Komunikasi Strategik Umno Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi Felda. Gambar: Bernama
Pengarah Komunikasi Strategik Umno Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi Felda. Gambar: Bernama

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan pelantikan Ahmad Shabery Cheek sebagai pengerusi agensi itu yang baharu berkuat kuasa 1 Julai ini.

Felda menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan tersebut akan meneruskan kesinambungan usaha transformasi Felda demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baharu Felda keseluruhannya.

Pada masa sama, Felda turut menzahirkan penghargaan kepada Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan selama tiga tahun sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun ini.

“Antara kejayaan tertinggi ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka yang meningkat lebih dua tan per hektar setahun daripada 17.29 tan per hektar pada 2021 kepada 19.43 tan per hektar pada 2022, yang secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka,” menurut kenyataan itu.

Menurut Felda Idris turut memperkenalkan inisiatif Hab Pembuatan Digital: Pengekodan dan Robotik, bilik darjah pintar serta menaik taraf Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda bagi memperkasakan pendidikan generasi baharu Felda dan memberikan peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Selain itu, Idris juga telah membawa paradigma baharu yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima dan ia dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf Felda yang kini mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri.