- Iklan -
Berita

DUN Selangor bubar, gelanggang PRN dibuka

Ia menyaksikan bermula hari ini Selangor ditadbir oleh kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di SJKC Selayang Baru in Selayang, 19 November.
Seorang lelaki menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di SJKC Selayang Baru in Selayang, 19 November.

Gendang Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor sudah dipalu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan secara rasmi hari ini, dua hari lebih awal daripada mandat yang sepatutnya tamat pada 25 Jun ini.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim telah menyerahkan watikah pembubaran kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor Shafie Taib di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pagi tadi, bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Ia menyaksikan bermula hari ini Selangor ditadbir oleh kerajaan negeri sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN kelak.

Selangor mengikuti Kelantan yang telah membubarkan DUN semalam, diikuti Pulau Pinang serta Kedah dijangka pada 28 Jun, Negeri Sembilan pula dua hari kemudian, manakala Terengganu belum memuktamadkan tarikh pembubaran DUN ketika tempoh akhir penggal akan tamat pada 30 Jun.

Selangor mempunyai 56 DUN dan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang 51 kerusi meliputi PKR (21), DAP (16), Amanah (lapan) dan Bersatu (enam).  

Barisan Nasional (BN) dan PAS pula masing-masing mendapat empat dan satu kerusi. 

Sepanjang penggal ini, Selangor telah menyaksikan empat Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan iaitu di DUN Sungai Kandis; Balakong; Seri Setia dan Semenyih berikutan penyandang kerusi dari PH meninggal dunia.

Tiga daripada kerusi tersebut berjaya dipertahankan PH, manakala kerusi Semenyih berjaya dirampas BN.

Ekoran Langkah Sheraton, kerajaan PH Selangor pada 5 Mac 2020 bertindak menyingkirkan Bersatu daripada gabungan itu, menyebabkan mereka kehilangan lima kerusi milik Bersatu yang dimenangi pada PRU-14.

Selain itu, tiga bekas Adun yang dipecat dari PKR iaitu Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia) dan Haniza Mohamed Talha (Ampang Jaya) serta Adun Sementa Dr Daroyah Alwi yang keluar dari parti itu juga turut menyertai Bersatu.

Namun pada tahun lepas, Haniza dan Dr Daroyah telah mengumumkan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bilangan kerusi Bersatu semakin mengecil apabila Adun Kuang, Sallehudin Amiruddin meninggalkan parti itu dengan menjadi wakil rakyat bebas, manakala ADUN Jeram Mohd Shaid Rosli dan Adun Batang Kali Harumaini Omar menyertai parti Pejuang. 

Pada 16 Februari lepas, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali diisytiharkan kosong ekoran penyandangnya Harumaini, tidak hadir ke sidang DUN Selangor melebihi tempoh enam bulan. Bagaimanapun, tiada pilihan raya kecil diadakan berikutan pengisytiharan tersebut.

Keadaan politik di Selangor tambah menarik apabila dua ADUN Amanah Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar dan Ahmad Mustain Othman, masing-masing mewakili DUN Meru dan Sabak membuat kejutan dengan menyertai PKR, sekutu mereka di dalam PH.

Selain itu, kerusi DAP di Selangor turut berkurangan apabila ADUN Teratai Bryan Lai Wai Chong mengumumkan keluar parti untuk bergerak sebagai wakil rakyat bebas sebelum menyertai Warisan.

Mengikut parti politik, komposisi DUN Selangor sebelum dibubarkan terdiri daripada 19 wakil PKR, DAP (15), Amanah (enam), BN (lima), Bersatu (empat) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat bebas selain satu kerusi diisytiharkan kosong.