- Iklan -
Berita

4 warga Thailand didakwa seludup migran susulan penemuan kubur pada 2015

Mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 15 tahun jika didapati bersalah.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang anggota polis berkawal menggunakan kenderaan berperisai sehari selepas kerajaan mengumumkan penemuan kem dan kubur berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian pada 25 Mei 2015. Gambar: AFP
Seorang anggota polis berkawal menggunakan kenderaan berperisai sehari selepas kerajaan mengumumkan penemuan kem dan kubur berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian pada 25 Mei 2015. Gambar: AFP

Empat warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan menjalankan penyeludupan migran terhadap dua warga Myanmar di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara 2013 dan 2015.

Keempat-empat lelaki itu, Jehpa Lapi-E, 56; Somphon A-Dam, 51; Arun Kaeofainok, 30; dan Amree Nesalaeh, 58; masing-masing menghadapi satu pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dalam bahasa Thai oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Musyiri Peet.

Kesemua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan pertuduhan dibuat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tiga tertuduh iaitu Jehpa Lapi-E, Somphon A-Dam dan Arun Kaeofainok didakwa menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang lelaki warga Myanmar iaitu Mohd Belal di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar pada Februari 2013 sehingga April 2013.

Sementara seorang lagi tertuduh, Amree Nesalaeh didakwa menjalankan penyeludupan migran seorang lelaki warga Myanmar iaitu Zedul Islam di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar lebih kurang 5.30 pagi pada Ogos 2014 sehingga Mac 2015. 

Keempat-empat tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal, VV Suloshini dan Lee Jun Keong manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Susulan hasil siasatan dijalankan, kerajaan Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada kerajaan Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Januari 2017, dan kedua-dua negara berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 diekstradisi ke Malaysia semalam, bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.