- Iklan -
Berita

‘Raja Petra boleh hubungi saya jika ingin pulang ke Malaysia’, kata Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak pernah menghalang Raja Petra untuk kembali ke tanah air.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Raja Petra Kamarudin. Gambar: Twitter
Raja Petra Kamarudin. Gambar: Twitter

Penulis blog kontroversi Raja Petra Kamarudin perlu menggunakan saluran yang betul dan mempunyai dokumen yang lengkap jika beliau ingin pulang ke Malaysia seperti yang didakwa menerusi rakaman video yang disiarkan melalui akaun media sosialnya baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan tidak pernah menghalang Raja Petra untuk kembali ke tanah air.

“Dia boleh tulis surat pada saya kalau dia nak balik dan benar-benar rindu untuk kembali ke tanah air, dia pun rakyat Malaysia cuma perlu saluran yang betul dan kalau isunya dia tidak ada dokumen lengkap atau dokumen dibatalkan, atau pernah kena perintah sekatan dan sebagainya, dia boleh mohon kepada saya secara rasmi.

“Saya akan terima, kaji dan lihat bahagian yang berkenaan sebelum dinilai, itu lebih baik berbanding menyuarakan isu ini di media sosial,” katanya pada Sesi Eksklusif Editor Media Bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang kenyataan Raja Petra sebelum ini yang mendakwa beliau dihalang untuk kembali ke Malaysia oleh kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

Dalam rakaman video itu, Raja Petra mendakwa telah menggunakan pelbagai cara untuk pulang ke Malaysia sejak 2013, termasuk mengadakan rundingan dengan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika di bawah pentadbiran Najib Razak, namun masih gagal.

Beliau juga mendakwa telah mengadakan rundingan dengan dua menteri Kabinet serta Bukit Aman untuk membantunya pulang ke negara ini.

Pada 2009, Raja Petra dilapor menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah melalui laman webnya.