- Iklan -
Berita

Umno Johor hantar jentera berpengalaman bantu kempen di Negeri Sembilan

Timbalan Pengerusi Umno Johor Ahmad Maslan berkata kesemua 26 bahagian di Johor perlu menghantar individu 'berpengalaman dan komited' untuk membantu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan yang hadir sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 11 Januari.
Perwakilan yang hadir sewaktu Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 11 Januari.

Umno Johor akan menghantar jentera yang berpengalaman dan komited bagi membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan nanti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor Ahmad Maslan.

“Johor ditugaskan untuk membantu Negeri Sembilan, jadi saya berharap agar kesemua 26 bahagian di negeri ini menghantar mereka yang berpengalaman (dalam pilihan raya) dan komited apabila diberi tugasan bagi membantu rakan-rakan.

“Saya juga ingin syor kepada Ketua Bahagian supaya hadir awal di bahagian angkat yang telah ditugaskan, jangan tunggu bubar atau sudah penamaan calon baharu hendak tunjuk muka,” katanya pada sidang media selepas melawat Wisma Bank Simpanan Nasional (BSN) Johor di Johor Bahru hari ini.

Ahli Parlimen Pontian yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai negeri yang akan dibantu Johor semasa PRN di enam negeri nanti.

Menurut Ahmad jentera pilihan raya dari Johor perlu bersungguh-sungguh membantu Negeri Sembilan pada kempen PRN nanti seperti yang dilakukan Kedah ketika membantu memenangkan BN pada PRN Johor sebelum ini.

Enam negeri yang akan berhadapan dengan PRN ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.