- Iklan -
Berita

KPM sahkan hampir 30,000 calon tidak duduki SPM 2022

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata mengikut rekod kementerian itu, jumlah tepat sebenarnya adalah sebanyak 29,663 orang daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail calon SPM menduduki kertas pertama mereka di SMK Sentul Utama di Kuala Lumpur.
Gambar fail calon SPM menduduki kertas pertama mereka di SMK Sentul Utama di Kuala Lumpur.

Kementerian Pendidikan (KPM) mengesahkan hampir 30,000 calon yang direkodkan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 adalah termasuk calon persendirian yang berdaftar untuk mengambil hanya satu atau dua mata pelajaran.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata mengikut rekod kementerian itu, jumlah tepat sebenarnya adalah sebanyak 29,663 orang daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar. 

Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal percanggahan angka dengan jumlah yang disebut Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.

"Apa yang dinyatakan bekas menteri pendidikan (Radzi Jidin) bahawa hanya 14,858 atau 3.8% calon tidak hadir peperiksaan itu sebenarnya ialah calon yang berdaftar mengambil enam mata pelajaran termasuk calon persendirian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim-Bandar Baharu) mengenai percanggahan antara angka keciciran pelajar pada SPM 2022 yang disebut perdana menteri dengan data KPM.

Selasa lepas, Anwar mendedahkan seramai 30,000 calon direkodkan tidak menduduki peperiksaan SPM tahun lepas, namun semalam Radzi yang juga ahli Parlimen Putrajaya mendakwa Perdana Menteri memesongkan fakta sebenar tentang jumlah berkenaan. 

Sementara itu, Lim berkata KPM akan menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran berasaskan teknologi digital bagi memenuhi keperluan sistem pendidikan pada masa depan. 

Katanya, guru-guru akan diberi latihan dan bimbingan dalam mendukung pelaksanaan dasar pendidikan semasa termasuk meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam aspek pendigitalan pendidikan selain digalakkan untuk membangunkan kompetensi secara kendiri bagi memenuhi keperluan dalam melaksanakan tugas. 

“Berdasarkan statistik dalam Sistem Pengurusan Latihan Kementerian Pendidikan Malaysia (SPLKPM) hingga 31 Mei 2023, sebanyak 1,789 latihan berkaitan digital atau ICT telah dilaksanakan,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga turut menyediakan 50,000 komputer riba kepada sekolah dan institusi pendidikan di bawah KPM bagi membantu guru mendidik selaras dengan arus pemodenan teknologi digital. 

Mengulas lanjut, Lim berkata KPM turut melaksanakan program khidmat bantu pengintegrasian teknologi pendidikan kepada guru melalui aktiviti perkongsian video, webinar dan tutorial berkaitan dengan kaedah dan pendekatan penggunaan teknologi digital dalam menyampaikan pengajaran yang berkesan.

“Guru yang terpilih untuk memberi khidmat bantu terdiri daripada mereka yang telah diiktiraf oleh Microsoft, Google dan Apple. Kelompok ini dikenali sebagai Guru Peneraju Generasi Digital,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) tentang bantuan yang disalurkan kepada guru untuk menguruskan pembelajaran secara bersemuka dan dalam talian ketika Malaysia masih berada dalam fasa peralihan endemik Covid-19.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.