- Iklan -
Berita

Inti pati skim kesihatan baru Madani sudah ditawar di Selangor 6 tahun lalu, kata pakar

Peruntukan untuk Skim Peduli Sihat Selangor juga jauh lebih besar berbanding RM100 juta yang diperuntukkan untuk Skim Perubatan Madani.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan melepasi mural khusus untuk petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di ibu negara. Gambar: Bernama
Seorang lelaki berjalan melepasi mural khusus untuk petugas barisan hadapan di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur di ibu negara. Gambar: Bernama

Skim kesihatan yang baru diperkenalkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah pun dilaksanakan di Selangor menerusi Skim Peduli Sihat yang diperkenalkan pada 2017 semasa Mohamed Azmin Ali menjadi menteri besar.

Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar turut berkata, semua perkhidmatan yang diumumkan sudah disediakan di fasiliti KKM dengan bayaran RM1.00.

"Skim baru ini lebih kurang sama dengan skim kerajaan Selangor, iaitu Skim Peduli Sihat Selangor,” katanya kepada MalaysiaNow.

"Tujuannya untuk beri peluang kepada golongan yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) mendapat rawatan yang cepat daripada pegawai perubatan umum (GP) dan mengurangkan kesesakan dan masa menunggu di fasilti KKM.”

Dalam satu kenyataan, Menteri kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata KKM memperkenalkan program rintis Skim Perubatan Madani hari ini yang bermula di 10 daerah di seluruh negara, setelah diumumkan dalam Bajet 2023 tahun lepas.

Menerusi skim baru itu, golongan berpendapatan rendah yang menerima STR boleh mendapatkan perkhidmatan penjagaan primer.

"Perkhidmatan percuma yang ditawarkan adalah seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur dan rujukan akan diberikan di GP kepada penerima manfaat mengikut pakej yang ditentukan," katanya.

Menurut Zainal, sebanyak 700,000 isi rumah dijangka memanfaatkan skim tersebut yang mempunyai peruntukan sebanyak RM100 juta.

Secara asasnya, kedua-dua skim itu merupakan subsidi kesihatan yang mana kerajaan akan membayar kos rawatan kepada GP yang terlibat. 

"Ada had maksima utk setiap isi rumah dan jenis perkhidmatan," tambah Zainal.

Skim Peduli Sihat diperkenalkan kerajaan Selangor di bawah Azmin dengan peruntukan RM125 juta untuk 250,000 keluarga di bawah isi rumah RM3,000. 

Sebanyak 1,000 klinik berdaftar di Selangor dan Lembah Klang mengambil bahagian dalam skim tersebut.

Pada 2018, nilai rawatan kepada pemegang kad Skim Peduli Sihat dinaikkan kepada RM700 seorang termasuk RM180 untuk suntikan vaksin Pneumonia.