- Iklan -
Berita

Zahid diberi pengecualian makan bersama Najib di penjara, kata Saifuddin

Saifuddin Nasution Ismail memetik peraturan penjara mengenai perkara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen, 14 Jun. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bercakap dalam sidang media di bangunan Parlimen, 14 Jun. Gambar: Bernama

Putrajaya hari ini mempertahankan layanan istimewa kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk melawat dan makan bersama bekas perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata lawatan itu dibenarkan kerana mendapat kebenaran khas daripada pihak penjara.

Beliau memetik Peraturan-peraturan Penjara 2000 yang membenarkan lawatan daripada saudara-mara dan rakan-rakan banduan tertakluk kepada sekatan "kecuali dengan kebenaran khas”

“‘Kebenaran khas’ yang digunakan selama ini adalah daripada Ketua Pengarah Penjara atau menteri,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata Zahid dibenarkan membawa hidangan istimewa untuk Najib berdasarkan kuasa sama yang diberikan untuk membenarkan pengecualian khas.

Zahid, yang juga timbalan perdana menteri, berkata beliau meluangkan masa hampir dua jam bersama Najib, dengan ditemani ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) di Penjara Kajang, baru-baru ini.

Zahid juga berkata beliau juga membawa bersama beberapa makanan kegemaran Najib dan menikmatinya bersama bekas perdana menteri itu. 

"Kami dapat makan bersama. Selepas bertemu selama setengah jam, hanya kami berdua selama satu setengah jam," katanya ketika menggulung Perhimpunan Agung Umno 2023 hujung minggu lalu.

Pengecualian kedua untuk Zahid

Ini adalah kali kedua Saifuddin terlibat menggunakan kuasa menterinya untuk memberikan pengecualian kepada Zahid. 

Pada Mac lalu, Saifuddin menggunakan kuasa menterinya untuk mengecualikan Umno daripada klausa dalam Akta Pertubuhan, membenarkan parti itu tidak mengadakan pemilihan jawatan presiden dan timbalan presiden. 

Saifuddin berkata beliau menggunakan kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Seksyen 70 Akta Pertubuhan, mengecualikan parti itu daripada mematuhi peruntukan di bawah Seksyen 13 akta yang sama. 

Seksyen 13 menyatakan Pendaftar Pertubuhan boleh membatalkan pendaftaran mana-mana pertubuhan jika didapati melanggar mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan. 

Bagaimanapun, Seksyen 70 akta yang sama memberi kuasa kepada menteri dalam negeri untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan daripada peruntukan ini.