- Iklan -
Berita

Wee lepas jawatan MCA bahagian selepas 30 tahun

Presiden MCA itu sebelum ini, menjawat jawatan sebagai Setiausaha MCA Bahagian Johor Bahru selama 15 tahun, sebelum menjadi Ketua MCA Bahagian juga selama 15 tahun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama
Presiden MCA Wee Ka Siong. Gambar: Bernama

Wee Ka Siong melepaskan jawatannya dalam MCA Bahagian Johor Bahru, selepas berkhidmat lebih 30 tahun bagi memberi laluan kepada generasi muda.

Presiden MCA itu sebelum ini, menjawat jawatan sebagai Setiausaha MCA Bahagian itu selama 15 tahun, sebelum menjadi Ketua MCA Bahagian juga selama 15 tahun.

“Hari ini secara rasminya saya melepaskan jawatan di peringkat bahagian, agak sedih juga kerana telah berada di bahagian ini sejak saya bujang dan kali terakhir saya berucap di Johor Bahru.

“Saya bermula dengan biro aduan awam MCA Bahagian, di mana saya terlibat menguruskan mangsa-mangsa penipuan, mangsa ah long dan lain-lain kes, sehingga menjadi Ketua Bahagian.

“Tetapi saya yakin dan percaya perlu adanya peralihan kepimpinan di peringkat bahagian, bagi meneruskan kesinambungan demi kesejahteraan masa depan parti,” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi pemilihan jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan, di Johor Bahru semalam. 

Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, MCA Bahagian Johor Bahru juga telah terbukti melahirkan ramai pemimpin prolifik, bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga di dalam kabinet kerajaan seperti bekas Presiden MCA mendiang Tan Sri Lee San Choon dan bekas Pengerusi MCA Johor mendiang Datuk Freddie Long.

“Sehubungan itu, saya yakin MCA Bahagian Johor Bahru akan terus berjaya mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” tambahnya.

Menerusi pemilihan pagi semalam, jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru kini disandang Bong Seng Heng yang juga bekas Ketua Pemuda Bahagian itu, yang meraih 152 undi berbanding pencabarnya, Ang Boon Heng dengan 45 undi.