- Iklan -
Berita

Siapa 'alihkan gol'?, Syed Saddiq selar Pemuda PKR berhubung skandal LCS

Ahli Parlimen Muar itu berkata pihak yang mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap dirinya adalah kumpulan yang sama meminta perbahasan tergempar mengenai isu sama di Parlimen sebelum pilihan raya.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.
Pemandangan salah sebuah kapal tempur pesisir pertama atau LCS1 yang sudah 60% siap pada April tahun ini di Bousted Naval Shipyard di Lumut, Perak.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tuduhan Pemuda PKR yang menuduh beliau cuba "mengalihkan tiang gol" dalam soal usul membahaskan isu kapal tempur pesisir (LCS). 

Ia selepas gesaan presiden Muda itu untuk membincangkan skandal LCS dikritik Pemuda PKR yg turut mahu penglibatan parti pimpinannya dalam kerajaan dinilai semula.

Bercakap dalam satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, beliau mempersoalkan pihak manakah yang sedang cuba "mengalihkan tiang gol" dalam skandal tersebut.

Katanya lagi, pihak yang mencadangkan supaya tindakan diambil terhadap dirinya kerana membangkitkan isu LCS adalah kumpulan yang sama sebelum pilihan raya meminta perbahasan tergempar mengenai isu sama di Parlimen.

Katanya lagi, bukan itu sahaja, kumpulan yang sama itu juga tanpa menunggu perbahasan dan siasatan dijalankan sudah menyatakan akan menangkap dan menghantar pemimpin-pemimpin utama yang terlibat dalam skandal tersebut ke penjara.

"Saya tak kata kita humban mereka dalam penjara. Saya tak katakan tuduhan sebegini. Yang saya pohon adalah 'proper due process' iaitu adakan perbahasan ini iaitu isu yg sama dituntut sebelum pilihan raya," katanya. 

Semalam, Pemuda PKR dalam satu kenyataan menuduh Syed Saddiq dan Muda "terus menerus menyebarkan maklumat salah dan separa benar yang memburukkan kerajaan". 

Sayap PKR itu berkata perkara tersebut perlu diteliti dan diambil kira dalam penilaian permohonan Muda untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).

Minggu lalu, Syed Saddiq memberitahu Dewan Rakyat cadangan usulnya ditolak oleh pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat atas alasan ianya tidak melibatkan kepentingan awam dan bukan juga satu bentuk keperluan yang mendesak.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq memberitahu penjelasan mengenai skandal tersebut tidak boleh dielakkan kerana rata-rata rakyat Malaysia bijak menilai setiap isu yang timbul.

Apatah lagi selepas isu yang sama pernah digunakan semasa berkempen dalam musim Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu.

Kita letakkan tuduhan kepada beberapa menteri-menteri utama yang kini berada dalam kerajaan, dulu kata ingin penjarakan mereka.

"Tetapi bila kita ingin tahu isu ini secara mendalam, kita lupakan, kita diamkan, kita bisukan mulut, pekakkan telinga (dan) butakan mata. 

"Ini tidak betul," tegasnya.

Skandal LCS merujuk kepada skandal yang sedang berlaku dan berada dalam siasatan pihak berkuasa Malaysia melibatkan pembinaan enam buah kapal tempur pesisir untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketika itu juga, Ahmad Zahid Hamidi merupakan menteri pertahanan.