- Iklan -
Berita

Ahli Parlimen buat laporan polis terhadap Sanusi berhubung kata-kata kesat

Syerleena Abdul Rashid berkata ucapan Muhammad Sanusi Md Nor telah menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama
Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor. Gambar: Bernama

Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid semalam membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berhubung video ceramahnya yang didakwa menggunakan kata-kata kesat.

Syerleena berkata laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 9.17 pagi berikutan Muhammad Sanusi dalam satu video tular semasa ceramah Perikatan Nasional (PN) di Permatang Pauh, Pulau Pinang yang didakwa biadap.

"Seorang pemimpin tidak boleh buat perkara sebegini, ia telah menyinggung khalayak yang terdiri daripada kaum wanita dan kanak-kanak.

"Kita cukup hairan melihat kualiti (pemimpin) sebegini yang tidak sepatutnya. Perbuatan ini tidak boleh dikompromi," katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim dan Ahli Parlimen Sungai Petani Mohammed Taufiq Johari.

Sementara itu, Taufiq menekankan bahawa budaya orang Kedah bukanlah budaya biadap sebaliknya bersopan santun dan berbudi pekerti.

"Saya sendiri orang Kedah, kalau beliau kata itu cara orang Kedah berbicara, itu salah. Ini amat memalukan, beliau seorang MB (Menteri Besar) Kedah yang mewakili nama baik negeri dan Sultan Kedah. Beliau sepatutnya menunjukkan imej yang baik," katanya.

Sementara itu, Lim menasihati pihak pembangkang untuk tidak memilih politik kotor melibatkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja) semata-mata ingin mengejar populariti dan meraih undi penyokong menjelang pilihan raya negeri ini.