- Iklan -
Berita

Tiada keperluan dokumen perjanjian perolehan ventilator ketika darurat, kata kementerian

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, keadaan tersebut menjadi salah satu punca mengapa pembekal bertindak mengambil kesempatan dengan menghantar alat-alat ventilator yang tidak mengikut spesifikasi.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. Gambar: Bernama
Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni. Gambar: Bernama

Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memberitahu tiada keperluan bagi pihaknya menyediakan sebarang dokumen perjanjian bagi perolehan secara darurat ketika negara berdepan krisis kesihatan global akibat penularan pandemik Covid-19. 

Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni berkata, keadaan tersebut menjadi salah satu punca mengapa pembekal bertindak mengambil kesempatan dengan menghantar alat-alat ventilator yang tidak mengikut spesifikasi yang diminta.

Bercakap ketika perbahasan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bagi tahun 2021 di Dewan Rakyat, beliau memberitahu terdapat kesegeraan dan keterdesakan daripada pihak KKM untuk mendapatkan alat perubatan itu ketika darurat. 

Bagaimanapun, disebabkan had pergerakan ke negara-negara pembekal menyebabkan perolehan ventilator diperoleh melakukan konsep "cash and carry" dari negara-negara pembekal. 

Beliau menjelaskan, untuk perolehan sewaktu darurat KKM mengemukakan spesifikasi yang berkaitan kepada para pembekal. 

Kemudian, para pembekal akan mengemukakan cadangan alat-alat ventilator melalui katalog ataupun brosur untuk dipertimbangkan oleh pegawai-pegawai KKM. 

"Penghantaran dibuat secara berfasa dan ambil masa yang panjang kerana permintaan dan persaingan yang sangat tinggi di negara-negara Eropah. 

"Dan harga naik empat kali ganda dari harga biasa. 

"Sememangnya dalam keadaan darurat (menjadi) amat terhad untuk lihat alat-alat ventilator secara fizikal," katanya. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan KKM tetap berjaya mendapatkan perolehan ventilator seperti yang disasarkan untuk memenuhi perkhidmatan yang tinggi dalam sektor kesihatan awam ketika itu. 

Penjelasan Lukanisma muncul selepas segelintir ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menganggap keengganan blok pembangkang membahaskan LKAN di Parlimen kerana mahu mengelak salah laku KKM di bawah pentadbiran terdahulu terbongkar. 

Semalam, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer berkata terdapat ketirisan berlaku dalam perolehan KKM bagi tujuan pembekalan vaksin, ventilator dan pelbagai perkara lain. 

Lukanisman memberitahu Dewan Rakyat berdasarkan garis panduan perbelanjaan dalam tempoh darurat menyatakan tidak perlu menggunakan dokumen perjanjian.

Katanya lagi, sehingga kini terdapat kira-kira 104 unit ventilator yang tidak dapat digunakan akan digantikan semula dengan unit ventilator yang baru dengan syarikat pembekal.