- Iklan -
Berita

Laporan audit buktikan kejayaan kerajaan terdahulu tangani Covid-19, kata Syed Saddiq

Ahli Parlimen Muar itu berkata laporan tersebut juga menunjukkan prestasi Malaysia menangani penularan Covid-19 lebih baik berbanding negara lain termasuk negara maju di Eropah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Muda Muar Syed Saddiq Abdul Rahman. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Muda Muar Syed Saddiq Abdul Rahman. Gambar: Bernama

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang dibahaskan hari ini membuktikan kejayaan kerajaan terdahulu mengemudi negara ini ketika berdepan dengan krisis pandemik Covid-19, kata Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Bercakap di Dewan Rakyat, Syed Saddiq dari Muda berkata, laporan itu menunjukkan prestasi Malaysia menangani penularan Covid-19 lebih baik berbanding negara lain termasuk negara maju di Eropah dalam mencapai kadar imunisasi.

Justeru, Syed Saddiq memberikan penghargaan kepada barisan hadapan di Kementerian Kesihatan yang cekap bertindak menangani pandemik itu selain memuji pimpinan Khairy Jamaluddin mengendali kementerian itu.

"LKAN sahkan bahawa pelaksanaan dapat dijalankan dengan baik. Transisi daripada pandemik ke endemik berjaya apabila program PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) dapat dilaksanakan dengan baik," katanya ketika membahaskan usul LKAN di Dewan Rakyat hari ini.

"Lagi cepat daripada tempoh tarikh yang telah disasarkan, sampai ke satu tahap kita jauh ke hadapan berbanding negara-negara lain, bukan saja di benua ini, tetapi negara maju lain di negara Eropah."

Malaysia mula berdepan ancaman Covid-19 pada awal 2020 sebelum kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dari Perikatan Nasional (PN) terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun itu bagi mengekang penularan Covid-19.

Ketika negara sedang berdepan krisis kesihatan, berlaku perubahan pentadbiran yang menyebabkan Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan Ismail Sabri Yaakob menggantikannya.

Khairy yang pada ketika itu merupakan menteri sains, teknologi dan inovasi menggantikan Adham Baba sebagai menteri kesihatan.

Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan Muhyiddin, negara berjaya mencapai sasaran untuk memastikan 80% rakyat Malaysia menerima suntikan vaksin lengkap pada 21 September 2021, lebih awal daripada sasaran awal yang ditetapkan menjelang 16 Disember tahun itu.

"Walaupun ada perkara yang boleh ditambah baik, diperhalusi, tetapi kita tidak boleh menidakkan perkara-perkara yang baik yang dikongsi dalam LKAN," tambah Syed Saddiq.