- Iklan -
Berita

Mitra peruntuk RM7.2 juta laksana program sosioekonomi komuniti India

Pengerusi jawatankuasa khas itu, R Ramanan berkata setiap Ahli Parlimen di kawasan terbabit akan menerima dana RM100,000 bagi melaksanakan program seperti pembangunan modal insan, keusahawanan dan kerjaya atau pembangunan sosial dan kebajikan.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra R Ramanan. Gambar: Bernama
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra R Ramanan. Gambar: Bernama

Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan melaksanakan program pembangunan sosioekonomi bersasar di 72 kawasan Parlimen yang mempunyai kepadatan masyarakat India tinggi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Mitra R Ramanan.

Beliau berkata program berkenaan melibatkan peruntukan RM7.2 juta, dengan setiap Ahli Parlimen di kawasan terbabit akan menerima dana RM100,000 bagi melaksanakan program seperti pembangunan modal insan, keusahawanan dan kerjaya atau pembangunan sosial dan kebajikan.

Antara kawasan yang mempunyai kepadatan tinggi masyarakat India ialah Petaling, Selangor dengan 189,378 orang, Johor Bahru, Johor (126,803) dan daerah Kinta di Perak dengan 104,831 orang.

"Program berkenaan akan dilaksanakan dalam masa terdekat," katanya dalam sidang media di sini hari ini, serta menambah  maklumat berkaitan program akan dimuat naik di laman rasmi di www.mitra.gov.my.

Sementara itu, beliau berkata Mitra akan bekerjasama dengan syarikat operator helikopter, Weststar Aviation Services Sdn Bhd, bagi memberi latihan juruteknik kepada 100 belia India B40 selama 21 bulan, yang melibatkan kos RM5.5 juta. 

Bagi program Operasi Dron dan Servis Data dan ‘Electrified Automation Advancement Programme’ (EAAP) dengan kerjasama SG Education Group membabitkan kos RM4.3 juta pula, Ramanan berkata 150 belia India B40 akan menyertai Operasi Dron dan Servis Data manakala 250 belia India menyertai EAAP.

Sementara itu, Ramanan berkata Mitra bekerjasama dengan Google untuk membekalkan 6,000 'komputer riba yang diperbaharui' kepada 527 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) melibatkan peruntukan RM3 juta.

"Peranti berkenaan akan dipasang dengan kemudahan Google ChromeOS Flex yang membolehkan ia bertahan antara lapan hingga 10 tahun," katanya. 

Mengenai Program Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta (Tamil) yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan, beliau berkata 4,973 kanak-kanak telah menerima manfaat daripadanya.

Permohonan bagi Program Subsidi Bantuan Pengajian Ijazah Sarjana Muda bagi pelajar India B40 di universiti awam pula masih dibuka dan akan ditutup pada 15 September 2023.