- Iklan -
Berita

Proses permit kerja ekspatriat dipendekkan 5 hari menerusi 'Xpats Gateway'

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata sistem berkenaan menggunakan pendekatan tetingkap tunggal akan mula dilaksanakan secara berfasa mulai 15 Jun ini.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli. Gambar: Bernama

Sistem baharu bagi proses pas penggajian ekspatriat, Xpats Gateway, akan memendekkan proses permohonan permit kerja daripada lebih 80 hari kepada lima hari bekerja sahaja, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Dalam sidang media pasca Mesyuarat Platfom Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Bilangan 3/2023 di Putrajaya hari ini, beliau berkata sistem berkenaan menggunakan pendekatan tetingkap tunggal akan mula dilaksanakan secara berfasa mulai 15 Jun ini.

“Konsep sistem bersepadu ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperbaharui sistem kerajaan, supaya lebih mesra pengguna dan menjimatkan masa pemprosesan dalam urusan kerajaan,” katanya.

Rafizi berkata fasa satu melibatkan pembangunan Sistem Xpats Gateway oleh pihak TalentCorp dan bagi agensi yang telah bersedia menggunakan sistem itu, akan mula melaksanakannya pada 15 Jun.

Fasa dua pula melibatkan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pihak Berkuasa  Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda), yang telah mempunyai sistem sedia ada dan hanya memerlukan integrasi untuk membolehkan ia dilaksanakan selewat-lewatnya pada 15 Ogos depan. 

Sementara itu, Rafizi berkata mesyuarat Pemudah hari ini bersetuju agar industri pembersihan dan pencucian negara, diberikan nafas baharu menerusi penstrukturan semula kontrak melibatkan perubahan kaedah kontrak daripada berdasarkan bilangan pekerja kepada kontrak berdasarkan prestasi.

“Dengan pelaksanaan kontrak berdasarkan prestasi, kontraktor harus mematuhi kriteria tertentu merangkumi pelan peningkatan produktiviti, inovasi, dan teknologi, di samping kriteria lain dan kontraktor akan dinilai mengikut markah bulanan dan akan dibayar mengikut prestasi yang dicapai,” katanya.

Beliau berkata kerajaan akan memulakan projek rintis kaedah baharu berkenaan, dalam tempoh dua bulan akan datang di tempat berimpak besar sebelum melaksanakannya di seluruh negara.

“Penstrukturan semula kaedah kontrak ini, mampu mengubah industri berkenaan kepada industri berkemahiran tinggi dan berasaskan teknologi, dan menarik minat pekerja tempatan untuk terlibat dalam industri itu,” katanya.