- Iklan -
Berita

Zahid tak buat ‘homework’, Kit Siang jemput masuk kerajaan, kata PAS

Ketua perangan PAS berkata Ahmad Zahid Hamidi perlu berhenti daripada menipu ahli Umno dan rakyat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera PAS tergantung di jalan utama di Rusila, Marang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 7 November 2022. Gambar: Bernama
Bendera PAS tergantung di jalan utama di Rusila, Marang, menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 pada 7 November 2022. Gambar: Bernama

PAS menyifatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak buat “homework” atau kerja rumah dalam menjawab isu pelawaan terhadap parti Islam itu bagi menyertai kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketua Perangan PAS Khairil Nizam Khirudin dalam satu kenyataan berkata, hakikatnya Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang terlebih dahulu menjemput mereka menyertai kerajaan campuran kerana kedudukan amat genting ketika ini dan Umno tidak lagi mendapat sokongan orang Melayu.

“Zahid perlu berhenti daripada menipu dan terus menipu ahli Umno mahupun rakyat.

"Penipuan terbesarnya adalah propaganda tidak bersama DAP dan Anwar tetapi akhirnya bersama parti yang dibenci ahli Umno itu sejak sekian lama," katanya.

Ahad lalu, Zahid mengecam kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mendakwa “sesetengah orang“ mencadangkan parti Islam itu untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“(Hadi) jangan terlalu sepenuh hati hingga menyangka (PAS) akan ditawarkan menyertai kerajaan perpaduan,” kata Zahid.

Pada 15 Mei, Lim mencadangkan supaya kerajaan campuran menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan PAS menjelang pilihan raya di enam negeri tidak lama lagi.

Sebelum ini, satu kajian yang dilakukan oleh firma penyelidikan, O2 dengan kerjasama beberapa organisasi media mendapati, 71% responden Melayu menyatakan rasa tidak puas hati dengan kerajaan baru, dalam memenuhi manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Isu sokongan Melayu baru-baru turut diperkatakan oleh Anwar apabila beliau menolak dapatan kajian penganalisis Bridget Welsh yang menyatakan sokongan Melayu terhadap Pakatan Harapan (PH) hanya pada kadar 11%. 

Menurut Anwar, kaji selidik oleh PKR sendiri mendapati sokongan Melayu kepada PH berada pada tahap 31%.