- Iklan -
Berita

Bekas pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong disiasat polis

Wee Choo Keong memaklumkan beliau dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Teknologi apabila terdapat satu laporan polis yang mendakwa beliau melakukan fitnah jenayah.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.
Bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Wee Choo Keong hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung dakwaan yang dibuat terhadap Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) menerusi beberapa siri tulisan di blognya.

Bercakap kepada media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur, Wee memaklumkan beliau dipanggil oleh Unit Siasatan Jenayah Teknologi apabila terdapat satu laporan polis yang mendakwa bekas ahli Parlimen Wangsa Maju itu melakukan fitnah jenayah.

Menurutnya, laporan itu dikaitkan dengan blog yang dimuat naik pada 1 dan 3 Mei lalu yang mempersoalkan usaha sama MAHB dengan BXC Travellers Sdn Bhd (BXC), sebuah syarikat yang didakwa meragukan.

"Kedua-dua tulisan blog yang dimuat naik itu menyebut empat individu, antaranya Pengarah Urusan MAHB, Iskandar Mizal dan bekas Pengerusi Tourism Malaysia, Siew Ka Wei," kata Wee.

"Dua lagi individu yang disebut dalam blog itu ialah ketua pegawai eksekutif (CEO) dan pengasas bersama BXC, Elizabeth Ken Tzu Ying dan Emil Rinaldi Sjaiful yang merupakan juga merupakan pengasas bersama dan pemegang saham utama BXC." 

Menurut Wee, tulisan blog yang dimuat naik itu mempersoalkan usaha sama antara MAHB dan BXC yang mana beliau mengaitkan beberapa pengarah BXC dalam pembabitan skandal Geeko Tech Sdn Bhd melibatkan dana lebih RM99 juta yang heboh pada 2018.

Katanya, skandal itu lebih dikenali dengan label "kontrak Speedy Gonzalez" yang mana siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kemudian menahan reman Elizabeth dan Siew selama empat hari.

Difahamkan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut, dan kedua-dua individu terbabit dibebaskan dengan jaminan

"BXC adalah syarikat muflis seperti yang dinyatakan juruauditnya sendiri Abdul Raji & CO dan ia telah difailkan kepada SSM.

"Bagi mereka yang berasa ragu-ragu terhadap kesahihan fakta ini, dipersilakan untuk melihat sendiri dalam laman web rasmi SSM," katanya.

Mengulas mengenai kehadirannya di IPD Dang Wangi, Wee turut meluahkan rasa kecewa apabila "pihak" yang membuat laporan tersebut tidak memfailkan saman agar mereka boleh membawa isu ini di mahkamah.

Katanya, menerusi perbicaraan di mahkamah, kedua-dua pihak akan kemukakan segala bukit yang akhirnya akan menjawab segala persoalan.

"Kenapa pula nak guna agensi kerajaan untuk isu seperti ini? Saya tidak akan tarik balik kenyataan yang telah dibuat dalam blog yang dimuat naik.

"Sebaiknya kes ini dibicarakan di mahkamah supaya kami boleh lawan menggunakan bukti yang ada," tambahnya.