- Iklan -
Berita

Azmin akan bertanding PRN Selangor jika diarahkan parti

Sebelum ini, bekas menteri besar Selangor itu secara peribadi menyuarakan hasrat mahu berehat daripada politik selepas PRU15.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Perikatan Nasional di Shah Alam, 21 Mei.
Pengerusi Perikatan Nasional Selangor Mohamed Azmin Ali bercakap kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Perikatan Nasional di Shah Alam, 21 Mei.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor Mohamed Azmin Ali akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya diarahkan oleh parti walaupun secara peribadinya mahu berehat daripada politik.

Bekas menteri besar Selangor itu berkata, pendirian itu dibuat enam bulan lalu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan mengambil kira sudah menjadi wakil rakyat sejak 1999.

"Itu satu tempoh yang agak panjang dan saya percaya PN kini mempunyai calon muda yang berpotensi, yang mampu melaksanakan dasar dan idealisme PN," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PN di Shah Alam malam tadi.

Karier politik Azmin bermula apabila dipilih menjadi ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kelang dari 1999 hingga 2004.

Selepas itu beliau merupakan Adun Bukit Antarabangsa sehingga kini dan ahli Parlimen Gombak bermula 2008 hingga November tahun lepas.

Mengulas mengenai kekalahannya kepada Amirudin Shari dalam saingan lima penjuru di kerusi Parlimen Gombak, Azmin menegaskan situasi itu tidak bermakna ia akan berulang pada masa hadapan.

Katanya, situasi pada PRU15 amat berbeza apabila beliau sebenarnya bukan sahaja berdepan dengan Amirudin tetapi seluruh jentera Pakatan Harapan (PH) di peringkat nasional yang merancang untuk membunuh karier politiknya.

Azmin, yang reda dengan keputusan itu turut menekankan rakyat yang memberi sokongan kepada PH di Gombak kini sudah mula merungut apabila melihat kegagalan pemimpin untuk melaksanakan tugas kerana tiada kekuatan.

"Seolah-olah pemimpin di bawah ini menjadi pak turut, tidak ada prinsip, tidak berani menyatakan sesuatu kepada pemimpin di atas.

"Jadi perkara ini menjadi rungutan. Rakyat melihat ahli Parlimen, kerajaan dapat selesaikan masalah dengan rakyat, tetapi ini tidak berlaku," katanya.

Dalam pada itu, Azmin yakin dan bersifat optimistik bahawa rakyat Selangor akan membuat perubahan besar pada PRN akan datang.

Katanya, perkara ini disebabkan kegagalan kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan banyak daripada isu yang dihadapi rakyat dalam tempoh enam bulan lalu.

"Mereka (kerajaan) banyak cakap tetapi tidak jelaskan apakah penyelesaian atau tindakan untuk mengurus masalah ini.

"Di bawah pentadbiran Muhyiddin Yassin dan PN, ketika kita berdepan waktu sukar, kami berjaya mengurus ekonomi dan mempercepatkan proses pemulihan.

"Kebanyakan rakyat Selangor adalah berpendidikan tinggi, terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana, mereka tahu apa yang sedang berlaku dan kami berharap mereka akan memberi PN peluang untuk mentadbir Selangor," tambahnya.